Wednesday, 25 March 2015

HUDUD SUKAR PEROLEHI MAJORITI MUDAH DI PARLIMEN

dewan rakyat pecahan bilangan kerusi

Usaha PAS untuk memperkenalkan undang-undang hudud memperlihatkan peluang yang tipis untuk diluluskan di Parlimen, berdasarkan jumlah ahli Parlimen parti pemerintah dan pembangkang yang membantah pelaksanaannya.

Dua rang undang-undang perlu mendapatkan kelulusan di Parlimen sebelum hudud dijadikan undang-undang iaitu – meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan meminda Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun rang undang-undang untuk Akta Mahkamah Syariah hanya memerlukan majoriti mudah untuk lulus, meminda Perlembagaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Parlimen, iaitu majoriti dua pertiga.
Jumlah pemimpin MCA, MIC, Gerakan, DAP, PKR dan parti-parti di Sabah dan Sarawak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud berjumlah 111 kesemuanya.
PAS mempunyai 21 ahli Parlimen, manakala Umno masih tidak menyatakan pendiriannya, tetapi seandainya semua 88 ahli Parlimen Umno berpihak kepada PAS, ia hanya akan memberi tambahan sehingga 109 undi.
Satu-satunya ahli Parlimen dari Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar, yang ditahan dan direman semasa protes anti-GST pada Isnin tidak dapat dihubungi, tetapi ia tidak menunjukkan seperti beliau akan menyokong hudud.
Turut tidak diketahui pendiriannya adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, yang kini merupakan seorang ahli Parlimen Bebas selepas dipecat daripada PKR.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee mengesahkan bahawa sebarang pindaan kepada Perkara 76A (1) memerlukan sokongan dua pertiga.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin percaya usaha PAS akan menjadi sesuatu yang sia-sia.
Beliau berkata adalah mustahil bagi PAS untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan kerana ramai pemimpin parti berada dalam BN dan Pakatan Rakyat menentang hudud.
“Sukar juga bagi PAS untuk mendapatkan majoriti mudah,” katanya.
Beliau menjelaskan, walaupun semua pemimpin ahli Parlimen Umno dan PAS menyokongnya, angka itu masih lagi tidak mencukupi untuk 112 undi yang diperlukan bagi majoriti mudah.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah ketika dihubungi menegaskan bahawa kedua-dua rang undang-undang hanya memerlukan majoriti mudah untuk lulus.
Beliau berkata cadangan pindaan kepada Perkara 76A (1) hanya melibatkan perubahan peruntukan tertentu.
“Terdapat pandangan yang berbeza, tetapi peguam kami dan sarjana undang-undang mengatakan bahawa perubahan tersebut tidak begitu besar, jadi hanya majoriti mudah diperlukan,” katanya.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete