Saturday, 14 February 2015

PEMERGIAN ALEX KOMANG MENGEJUTKAN U-WEI SAARI



KUALA LUMPUR 14 Feb - Pengarah flem U-Wei Hj Saari mengakui dirinya berat untuk menceritakan perasaannya tentang pemergian pelakon terkenal Indonesia, Alex Komang.

Beliau berkata, pemergian Alex yang juga sahabat baiknya itu "terlalu mendadak" kerana baru sahaja minggu lepas beliau berborak dengannya melalui telefon dan tidak menyangka kematiannya terlalu cepat.

"Kali terakhir saya jumpa dia ialah di Jakarta. Pada ketika itu beliau lemah dan kurus... saya tanya sama ada beliau sakit.

"Baru lagi borak dalam telefon dengan dia minggu lepas, tak sangka penyakit tu melarat dengan cepat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Antara kenangannya bersama Alex termasuk mereka sering berbual di telefon tentang filem.

"Kehilangan Alex bukan sahaja sebagai seorang yang saya pernah bekerja, tetapi seorang kawan rapat," ujar U-Wei lagi.

Bagi pengarah filem Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin pula, beliau amat terkejut tatkala mendapat berita tentang pemergian Alex.

"Saya sangat terkejut... kami sama umur. Saya dapat tahu dia sakit sejak dua minggu lalu," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Teong Hin, Alex seorang yang sangat baik dan kerap menghubunginya apabila datang ke Kuala Lumpur.

"Kali terakhir saya berjumpa beliau ialah kira-kira empat atau lima tahun lalu. Takziah kepada isteri dan keluarga beliau... semoga tabah," katanya.

Pelakon terkenal Indonesia Alex Komang dilaporkan meninggal dunia di Semarang, Indonesia pada Jumaat.

Anak saudaranya Izar Fauzi mengesahkan berita sedih itu di Rumah Sakit Umum Pusat, Kariadi Semarang, Indonesia, lapor Bisnis.com.

Menurut pihak keluarga, Alex Komang yang pernah berlakon filem Puteri Gunung Ledang itu, menghidap Hepatitis B, lapor detikHot.


BERITA SEBELUMNYA...



Pada Khamis, media melaporkan keadaan kesihatan Alex semakin merosot dan berita itu mula tersebar kepada selebriti lain di seluruh Indonesia.

Seorang daripada rakan seangkatan Alex, Dewi Irawan turut meminta orang ramai berdoa untuk pelakon berpengalaman itu.

Melalui Twitter, Dewi mencatat: “Mas Alex Komang, sedang kritis di RS Karyadi Smg, mhn do’anya cc mhn bantuan/perhatian Gub @ganjarpranowo.” 

Dewi Irawan adalah pemenang aktres terbaik Festival Filem Indonesia 2015. 

Seorang daripada anak saudara Alex memberitahu, pelakon yang membawa watak bapa Lintang dalam filem Laskar Pelangi itu dipindahkan dari hospital di Jakarta ke Semarang untuk membolehkan dia berada berdekatan keluarganya. 

Sutradara dan produser Joko Anwar ketika menghebahkan kematian Alex melalui Twitter menulis: “Mas Alex Komang telah berpulang… Selamat jalan, Mas Alex. Kami sangat kehilangan dan akan merindukanmu…”. 

Alex dilahirkan dengan nama Saifin Nuha diketahui menderita penyakit kanser hati. Sepanjang tempoh aktif berlakon, dia pernah membintangi pelbagai filem, termasuk bertaraf legenda seperti Doea Tanda Mata pada 1985, Secangkir Kopi Pahit (1985), Ibunda (1986), Laskar Pelangi (2008) dan yang terakhir Gunung Emas Almayer (2014). 

Alex juga pernah berlakon dalam filem epik terbitan Malaysia, Puteri Gunung Ledang dan Surat Kecil Untuk Tuhan. Sumber : Mstar

No comments:

Post a Comment