Wednesday, 25 February 2015

NGA KOR MING KE BUKIT AMAN BERI KETERANGAN MENGHASUT


Laporan sumber menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman telah memanggil dua pemimpin pembangkang bagi memberi keterangan mengikut Akta Hasutan 1948 ekoran memberi kenyataan yang disifatkan mampu menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming telah tampil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam kira-kira pukul 11.20 pagi manakala Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pula tiba pada pukul 1.45 petang.

Mereka dipanggil selepas mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan menerusi laman Twitter masing-masing pada minggu lalu.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu ketika ditemui media berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tindakan diambil terhadapnya berhubung kenyataan di Twitter yang berbaur hasutan dan menghina sistem kehakiman negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) untuk mengambil tindakan terhadap Kor Ming dan individu lain yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Minggu lalu, Khalid menerusi laman Twitter miliknya menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin tersebut sebagai sengaja mahu tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

Manakala dengan merujuk kenyataan Kor Ming menerusi laman Twitternya pula, beliau mengajak rakyat agar menentang rejim zalim selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa hari ini terhadap Anwar selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Arahan yang sama juga telah dikeluarkan oleh Khalid terhadap Rafizi berhubung kenyataannya di Twitter yang berunsur hasutan dan juga menghina sistem kehakiman negara. - AzlinHussain/UtaraNews.com

No comments:

Post a Comment