Wednesday, 7 January 2015

FERI PENANG TERHENTAK KUAT, WANITA CEDERA


GEORGETOWN – Penumpang feri di Pulau Pinang diminta berhati-hati ketika berada dalam kenderaan pengangkutan berkenaan.
Ia berikutan kejadian seorang wanita yang dipercayai cedera di bahagian kaki gara-gara feri terhentak agak kuat.
Jurucakap Penang Port berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat secara rasmi berhubung insiden berkenaan.
“Jika ada kejadian sebegini, kami harap supaya anda segera membuat aduan ataupun terus berhubung dengan kami melalui emel info@penangport.com.my.
“Kejadian feri tidak stabil ketika hendak berlabuh tidak dinafikan kerap berlaku dan disebabkan itu, kami menasihatkan penumpang supaya berada di tempat masing-masing atau lebih baik berada dekat dengan kenderaan,” katanya.
Keadaan cuaca sejak bulan lalu masih kurang baik termasuk berlakunya ombak besar dan angin kuat.
Menurutnya, walaupun keadaan di permukaan laut kelihatan normal namun, sebaliknya keadaan lebih teruk berlaku di dasar laut.
“Arus dalam laut adalah lebih kuat dan disebabkan itu feri kadangkala terpaksa dikawal secara manual iaitu menggunakan pengayuh, ini semua kerana cuaca.
“Bagaimanapun orang ramai tidak perlu bimbang kerana kapten kami sudah dilatih dan mereka sentiasa memantau keadaan cuaca dan sudah biasa dengan teknik pemanduan ketika cuaca kurang elok,” katanya.
Disebabkan ombak yang kuat, ada kalanya feri menghentam sedikit kuat di bahagian pelabuhan namun, keadaan berkenaan tidak berbahaya berikutan struktur jeti dibina untuk serap hentakan.
Wakil berkenaan juga memaklumkan Penang Port mengambil langkah keselamatan termasuk memasang tayar di bahagian tepi dinding feri.
“Kami bimbang sekiranya feri ini terhentak di kawasan lain selain pelabuhan, jadi tayar sebagai serapan sudah disediakan lebih awal.
“Paling penting ialah penumpang perlu sentiasa beringat untuk menjaga keselamatan terutama pada waktu angin dan ombak kuat,” katanya. – Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment