Sunday, 21 December 2014

STATUS FACEBOOK HINA JURURAWAT HOSPITAL KERAJAAN


Tersebar sudah pasal satu Hamba Allah ini menghentam Jururawat dengan bahasa yang teruk sekali. Bila dah sedar diri cakap tanpa akal baru buat permohonan maaf. Kata tak ada niat dan sebagainya. 



Tapi nasihat Keris, esok lusa kalau ada Jururawat tak endahkan kamu janganlah marah mereka sebab bukan semua orang mampu memaafkan kita. Telajak perahu boleh berundur, terlajak kata binasa badan.

Apapun mohon juga semua jururawat di Malaysia ampunkan kesalahan Hamba Allah ini. setiap manusia melakukan kesilapan, sudah cukup dia sedar akan kesilapannya. Moga ianya tidak lagi berulang.

Untuk budak mentah Aleeya Natasha II yang lahir pun disambut oleh nurse. Hinaan sebegitu amatlah biadap. Kalau kena tampar paling elok sekali. Atau adik nak jadi 'glamour'?

Ini ada cebisan huraian daripada Ustazah Fatimah Syarha:

Pekerjaan jururawat sungguh mulia. Pekerjaan jururawat sungguh diperlukan. Bekerja sebagai jururawat suatu ibadah umum yang boleh menuai banyak pahala. Berkerja sebagai jururawat juga suatu perjuangan.

Saya tidak dapat bayangkan betapa sukarnya meniti hari-hari di hospital tanpa jasa dan pengorbanan seorang jururawat. Dr. Yusuf al-Qaradhawi sendiri mengiktiraf betapa berhajatnya masyarakat kepada tenaga wanita berupa jururawat.

Tanpa jururawat, siapa yang akan menjaga jutaan muslimah di hospital lebih-lebih lagi di wad-wad OnG? Tanpa jururawat, siapa yang akan memudahkan urusan doktor untuk menyiapkan kerja-kerja teknikal? Kerja-kerja teknikal ini pula biasanya lebih diteliti diuruskan oleh seorang perempuan. Tanpa jururawat yang berkesedaran Islam seperti ukhti, siapa yang akan bangkit memperjuangkan pakaian jururawat yang mesra syariah?

Tanpa jururawat berjiwa seperti ukhti, siapa yang akan memimpin usrah dan halaqah untuk para jururawat di sana lebih-lebih lagi yang sangat berhajatkan kefahaman Islam? Islam milik semua.

Semoga Allah memudahkan urusan keluarga semua jururawat di dunia ini yang banyak berjasa mengorbankan masanya demi masyarakat. Semoga lebih banyak institusi-instusi sokongan keluarga yang akan bangun mengasuh anak-anak dengan lebih efektif agar para jururawat ini dapat terus menabur jasa.

Berkaitan pakaian, suami ana (Dr. Farhan Hadi) pernah mengatakan, dia menemui ramai jururawat yang melonggarkan pakaiannya, melabuhkan sedikit tudungnya dan tiada siapa berani mengambil tindakan apa-apa kepada mereka. Semoga lebih ramai jururawat hari ini berjiwa berani seperti ini dan jururawat akan datang dapat menemui peluang berpakaian yang lebih baik.

Ukhtiku sayangfillah, rasa mulialah dengan tugas muliamu! Kami semua amat berhajatkan baktimu. Sudah tentu kami lebih bertuah, jika anak kami yang lahir disambut oleh seorang doktor atau jururawat yang jiwanya sangat cinta kepada Islam. :)

Dan berikut adalah artikel kedua yang buatkan kita terfikir pengorbanan jururawat yang gigih di hospital dan di mana-mana saja semasa bertugas:

Pernahkah anda terfikir untuk menjadi jururawat? Marilah kita luangkan masa sedikit untuk menjadi seorang jururawat. Amat mudah.

Pertama sekali, sekiranya anda sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan, cuba anda bertanya kepada si ibu atau si ayah, sama ada susah atau senang untuk menukar lampin anak pada setiap hari tidak kira siang dan malam.

Kedua, andai kita masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, tanyalah pada diri anda andai mereka lumpuh dan tidak berdaya untuk melakukan kerja, di manakah anda pada waktu itu dan apakah yang akan anda lakukan? Bagaimana anda akan melaksanakan tanggungjawab anda sebagai seorang anak? Mudahkah kita menjaga seseorang yang lumpuh?

Ketiga, anda seorang lelaki yang gagah perkasa, namun berapa ramai yang gagah bila melihat darah, berapa ramai lelaki di luar sana yang bersedia melihat mayat setiap hari?

Beranikah anda sebagai lelaki sejati merawat pesakit yang 90 peratus nyawa mereka berada di tangan anda? Andaikan pemergian mereka sudah ditakdirkan, namun anda dipersalahkan oleh ahli keluarga pesakit, bersediakah anda?

Lelaki sememangnya mahir menggunakan mesin, tapi adakah mudah merawat manusia, di antara mesin dan nyawa manusia, yang manakah lebih bernilai?

Senario di atas hanyalah 1/100 daripada tugas seorang jururawat. Pernahkah anda terfikir betapa sukarnya bekerja sebagai jururawat? Kerja empat orang, jaga 40 orang dengan pelbagai ragam pesakit. Doktor bagi arahan saja, yang buat kerja jururawat. Kalau anda tidak percaya pergilah melawat.

Pesakit tahu buat aduan tapi tidak pandai berterima kasih. Mereka menyelamatkan banyak nyawa, namun orang tidak peduli. Jururawat bermasalah hanyalah seorang dua, tapi jangan dihukum 80,000 orang jururawat yang lain. Jururawat dikritik, namun tidak pernah dengar jururawat mengkritik. Tiada waktu rehat diperuntukkan dalam waktu bekerja, namun mereka tetap bekerja sepanjang masa.

Takut dikritik masyarakat kerana jururawat tidak buat kerja, sedangkan mereka hanya berehat sekejap saja. Bekerja lebih masa adalah perkara biasa, kalau tidak percaya tengoklah kad perakam masa. Bukan semua dapat tuntut elaun kerja lebih masa, banyak alasan, banyak masalah birokrasi.

Jururawat hanya tahu bekerja, tetapi mereka masih tidak peka hak mereka sendiri. Orang kata kalau tidak tahan bekerja jururawat, berhenti saja. Tapi orang lupa, jururawat manusia biasa, yang mempunyai hati dan jiwa, mempunyai anak-anak dan keluarga. Anak-anak di rumah juga perlu dirawat dan dijaga.

Kalau semua jururawat berhenti, bersediakah anda menjadi pengganti? Bolehkah hospital beroperasi? Tanyalah diri tanyalah dengan seikhlas hati. Masyarakat takut penyakit berjangkit, tetapi jururawat sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit. Menjaga pesakit banyak tekanan, tapi ramai orang buat tak perasan.

Kerja mereka sungguh luar biasa, tapi orang pandang biasa saja. Jagalah kebajikan mereka, janganlah sampai mereka berhijrah ke luar negara mencari kerja, kelak kita tidak cukup pekerja. Jangan pandang sebelah mata bakti mereka, kerja mereka sungguh mulia.

Mereka tidak pandai berkata-kata, cuma tahu bekerja. Mereka simpan di dalam hati, entah sampai bila boleh didengari. Kerja mereka sungguh mulia. Tiada jururawat hospital tidak akan berfungsi. Apakah kebajikan mereka sekarang ini sudah mencukupi?  SUMBER

No comments:

Post a Comment