Thursday, 18 December 2014

PADAH BUNUH ISTERI DAN ANAK-ANAK ... AHLI PERNIAGAAN DIHUKUM GANTUNG SAMPAI MATI...


SIBU 17 Dis - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap bekas ahli perniagaan, Jacob Tiang Lee Yee, kerana membunuh isteri dan dua anaknya di rumah mereka di kawasan perumahan Pulau Li Hua di sini pada 5 Julai 2013.


Pada 18 Nov lepas, Hakim Supang Lian mendapati Tiang, 44, bersalah membunuh isterinya Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya Christine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelakinya Victor Tiang Soon Sheng, 2, antara 6.20 pagi dan 9.50 pagi, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Beliau juga mendapati Tiang bersalah kerana cuba membunuh seorang lagi anak mereka, Vincent Tiang Soon Thai, 17, di tempat dan waktu sama, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan cuba membunuh, Supang menjatuhi hukuman penjara 15 tahun terhadap Tiang.

Ketika menyampaikan penghakimannya, Supang berkata kes itu merupakan satu tragedi dahsyat apabila seorang lelaki yang banyak berhutang, yang diancam pemberi hutang yang tidak mempunyai belas kasihan, akhirnya membuat keputusan untuk membunuh seluruh anggota keluarganya.

"Isterinya, Yung Ming, dijadikan mangsa manakala anak perempuannya, Christine dan bayi lelakinya, Victor, juga tidak diberi peluang untuk hidup.

"Seorang lagi anak lelakinya, Vincent, terpkasa bertarung untuk menyelamatkan nyawanya dan kita bersyukur kerana dia berjaya melarikan diri dari rumah itu dan bapanya.

"Bagi saya, tiada yang lebih dahsyat dan menyedihkan bagi seorang anak lelaki berusia 17 tahun ketika mendapati nyawanya sedang diancam bapanya sendiri.

"Tidak dapat dinafikan, kejadian ini pasti amat melukakan perasaannya dan kenangan itu akan kekal dalam ingatannya sepanjang hayat," kata hakim itu.

Terdahulu, sebelum Supang mengumumkan keputusannya, Vincent yang hadir di perkarangan mahkamah, enggan memberi kenyataan impak terhadap bapanya apabila diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azrul Faidz.

Tiang kelihatan tenang ketika hukuman itu diumumkan dan dijelaskan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim juga memenuhi permintaan Tiang untuk menziarahi kubur isteri dan dua anaknya di Tanah Perkuburan Cina Sungai Aup atas dasar perikemanusiaan tetapi 'dengan dikawal ketat oleh pihak berkuasa penjara".

Menjawab soalan Supang kenapa dia ingin berbuat begitu, Tiang berkata dia hanya ingin melihat kubur mereka.

Tiang berkata sekiranya mahkamah tidak membenarkannya berbuat begitu, dia berharap dia dapat melihat gambar kubur mereka.

Tiang diwakili peguam lantikan, Ben Lau.

No comments:

Post a Comment