Thursday, 25 December 2014

MISTERI KUBUR DI LANGGAR KELUAR ULAR TEDUNG PADA WAKTU MALAM

Kubur di atas tambak dalam sawah di Kampung Alor Besar sentiasa menjadi tanda tanya pengunjung ke kampung itu.

LANGGAR (POKOK SENA) - Pengunjung ke Kampung Alor Besar, Mukim Limbong dekat sini, pasti akan tertanya-tanya mengenai tambak yang masih tidak terusik walaupun sekelilingnya adalah sawah.

Pemilik tanah, Mansor Salleh, 65, berkata, tambak itu adalah kubur yang wujud sejak beratus tahun dahulu dan difahamkan ia adalah milik individu yang dikenal sebagai Tok Dalang Halus.

Menurut Mansor, pada awalnya kawasan itu adalah perkampungan dan kemudiannya diteroka untuk dijadikan sawah.

Pada waktu itu, terdapat dua tanah perkuburan di situ iaitu Tok Dalang Halus dan Tuan Pah.

Katanya, pada zaman dahulu sebelum berlakunya Perang Dunia ke-2, kawasan itu telah disewa oleh seorang Cina dari datuknya untuk dijadikan kebun bagi menanam sayur dan buah-buahan.

“Menurut datuk saya, petani Cina itu hairan kerana setiap pagi terdapat kesan seperti sesuatu benda panjang dari situ hingga ke sungai berdekatan yang melalui kebun sayurnya itu.

Bagi melihatnya sendiri, petani itu ke kebunnya pada waktu malam dan mendapati seekor ular tedung yang panjang keluar dari tanah perkuburan itu dan melintasi sungai lalu hilang apabila sampai ke tanah perkuburan yang berdekatan tanah itu.

Mansor berkata, tanah seluas dua hektar itu kemudiannya telah diratakan pada 1980-an bagi dijadikan kawasan sawah yang menjadi mata pencarian utama penduduk kampung di situ.

“Saya sengaja tidak ratakan tambak itu sebagai menghormati tanah perkuburan di situ. Bagaimanapun, tambak itu kini semakin terhakis terutamanya jika air melimpah masuk ke dalam sawah hingga batu nisan dari batu sungai itu turut tercabut,” katanya. - SinarHarian

No comments:

Post a Comment