Tuesday, 23 September 2014

TENTERA INDONESIA BERGADUH DENGAN POLIS RIAU, EMPAT CEDERA DITEMBAK


BATAM : Empat anggota tentera Indonesia dari Batalion Yonif 134 Tuah Sakti ditembak polis Briged Mobil (Brimob) Riau awal pagi semalam selepas berlaku pergaduhan di antara kedua-dua pasukan sebelum itu.

Ketua Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Fuad Basya berkata, dua anggota tentera berpakaian preman berkunjung ke suatu lokasi yang dilihat menjadi tumpuan ramai.

Selepas diselidik, kata Fuad, didapati ia bukanlah tempat simpanan petrol seperti disangka pada peringkat awal.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka ditembak di kaki, menyebabkan rakannya cuba membantu tetapi turut ditembak,” katanya.

Insiden itu mendorong lebih ramai anggota TNI datang dan sesetengahnya bergegas ke Ibu Pejabat Brimob untuk mendapatkan penjelasan.

Di situ, kata Fuad, berlaku pergaduhan dan berakhir dengan dua daripada anggota TNI itu cedera ditembak.

“Secara keseluruhannya empat anggota TNI luka ditembak di kaki,” katanya.

Sementara itu penduduk Batam diminta bertenang dan tidak terpengaruh dengan keadaan semasa.

TNI juga mengeluarkan arahan supaya semua anggotanya dilarang meninggalkan berek bagi mengelak sebarang kejadian membalas dendam.

- Agensi

No comments:

Post a Comment