Sunday, 21 September 2014

SEPASANG KEKASIH WARGA ASING DITAHAN BERSAMA KAPAL MEWAH DAN SENJATA BERBAHAYA


Alor Setar: Polis menahan sepasang kekasih warga asing selain merampas tujuh laras raifal jenis Benelli Argo buatan Itali dan ratusan peluru pelbagai jenis selepas menyerbu sebuah kapal mewah di Jeti Kuah, Langkawi di sini, Khamis lalu.



Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari, sepasukan anggota dan pegawai polis Bukit Aman serta Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu kapal mewah berkenaan selepas menerima maklumat suspek memiliki senjata api.


Suspek lelaki yang juga warga Afrika Selatan berusia 43 tahun manakala wanita warga Thailand berusia 30-an dikatakan berada di Malaysia sejak beberapa minggu lalu dan melabuhkan kapal mewah itu di jeti pulau berkenaan untuk melancong.


Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemeriksaan menemui raifal serta peluru disimpan di bahagian enjin kapal berkenaan.


“Kami juga mendapati, pemilik kapal mewah berkenaan yang juga warga Afrika Selatan itu tidak memiliki dokumen pengesahan untuk menyimpan senjata api berkenaan.


“Siasatan awal mendapati suspek menjadikan kapal mewah miliknya sebagai tempat menyimpan senjata api dan peluru oleh pemilik kapal lain yang berlabuh di situ,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kawad Senjata Piala Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, semalam.


Beliau berkata, kedua-dua suspek direman seminggu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.


Kes juga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kami juga masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek anggota kumpulan jenayah atau sebaliknya. Siasatan awal mendapati senjata api terbabit diperoleh dari negara lain untuk tujuan tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment