Friday, 27 June 2014

LOLA MENGAKU TIDAK BERSALAH ABAI ANAK OKU


SEREMBAN : Seorang ibu berusia 40 tahun pada Jumaat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengabaikan anak kurang upaya berusia 15 tahun yang ditemui dalam keadaan terbiar di sebuah flat di Nilai dekat sini.


Tertuduh, Lolanopita Sadi juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan gangguan emosi dan kecederaan kepada anaknya, Muhammad Firdaus Dullah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen B. Jagjit Singh.

Lolanopita dituduh mengikut seksyen 31 (1) (a) dan 33 (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pesalah mengikut seksyen 31 (1) (a) boleh dikenakan denda sehingga RM20, 000, dan penjara sehingga 10 tahun manakala Seksyen 33 (c) memperuntukkan denda sehingga RM5, 000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Kisah Muhammad Firdaus menjadi perhatian masyarakat selepas pasukan penguatkuasa Imigresen yang menjalankan pemeriksaan rutin terhadap kawasan penempatan pendatang tanpa izin menemui remaja itu dikurung di dalam bilik sebuah rumah flat pada Sabtu lalu.

Ketika ditemui, Muhammad Firdaus berada dalam keadaan berlumuran najis dan pakaiannya koyak-rabak.
Ibu Muhammad Firdaus iaitu Lolanopita, yang bekerja di sebuah syarikat katering di Sepang, sebelum ini mendakwa terpaksa membiarkan anaknya kerana tidak tahu tempat untuk dirujuk.

Sehubungan itu, Hakim Jagjit membenarkan Lolanopita diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 24 Julai depan untuk sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment