Sunday, 22 June 2014

KENAIKAN INDEKS HARGA PENGGUNA BAKAL BEBANKAN RAKYAT ???


KUALA LUMPUR, 21 Jun - Peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diumumkan baru-baru ini memberi gambaran akan cabaran dan kesan kos sara hidup yang bakal dihadapi rakyat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun yakin kerajaan melalui Bank Negara dan agensi berkaitan akan memantau peningkatan ini agar kadar inflasi negara terkawal.

"Pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus memantau dan membendung kenaikan harga barang bagi mengurangkan beban rakyat.

"Walaupun dilihat ada sedikit peningkatan dari segi harga dan inflasi, tapi ia masih lagi dalam kadar yang rendah berbanding negara-negara lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kesukarelawan 1M4U: Program Keceriaan Jejambat Jalan Duta dan 'Green Ambassador' di sini, hari ini.

Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan semalam berkata IHP negara meningkat 3.2 peratus kepada 110.0 pada Mei 2014 daripada 106.6 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2014, IHP naik 3.4 peratus kepada 109.8 berbanding 106.2 sebelumnya.

Sementara itu apabila ditanya mengenai isu pergolakan di Iraq sekarang yang telah menyebabkan kenaikan harga minyak mentah dunia Mustapa berkata sekiranya krisis itu berlarutan ia akan memberi cabaran kepada ekonomi negara.

"Jika berlarutan ia akan memberi cabaran kepada ekonomi negara dan untuk itu MITI akan terus memastikan perdagangan dan pelaburan negara dipertingkatkan bagi mengukuhkan ekonomi," katanya.


No comments:

Post a Comment