Thursday, 3 April 2014

RUMAH BAPA PENUMPANG #MH370 DI FELDA BUKIT MANDI DIROMPAK


BERA 

Belum reda dengan kesedihan berikutan kehilangan anaknya Mohd Khairul Amri dalam tragedi MH370, Selamat Omar, sekali lagi diuji apabila rumahnya di Felda Bukit Mendi, di sini dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang awal pagi ini.

Bagaimanapun semasa kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Selamat, 60  tidak ada di rumah kerana menginap di sebuah hotel di ibu negara bagi menunggu perkembangan misi mencari pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Hanya isterinya Rosila Abu Samah, 50, dan anaknya Kaiyisah Adibah, 8, yang baru pulang dari ibu negara petang Ahad lepas berada di rumah ketika kejadian.

Menurut Rosila, semasa kejadian dia dan anaknya sedang tidur di salah sebuah bilik dan tersedar apabila lampu tiba-tiba terpasang.

"Saya tersedar dan terpandang dua lelaki bertopeng berdiri di sebelah katil meminta saya supaya jangan berbuat bising dan mengikut apa yang diarahkan sambil mengacukan parang ke arah saya.

"Mereka meminta saya menanggalkan barangan kemas saya seperti gelang dan subang selain bertanyakan di mana saya menyimpan wang. Disebabkan khuatir diapa-apakan, saya hanya menyerahkan barangan kemas saya serta menunjukkan di mana saya menyimpan wang dan alhamdulillah saya serta anak tidak diapa-apakan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Ibu tiri kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 Rosila Abu Samah, 50, menunjukkan keadaan rumahnya yang berselerak selepas dimasuki perompak di Felda Bukit Mendi, dekat Bera pada Rabu. Foto BERNAMA

Menurutnya dua lelaki berkenaan yang turut bersenjatakan pemotong besi dipercayai warga Indonesia berdasarkan pertuturannya. 

Katanya, kedua-dua penjenayah itu yang memecah masuk melalui tingkap biliknya itu menggeledah rumahnya hampir setengah jam dan turut melarikan beg tangannya yang mengandungi kad pengenalan dan kad bank.

Berikutan kejadian itu, beliau mengalami kerugian wang tunai RM3,000, barang kemas bernilai RM5,000 dan dua buah telefon bimbit dan bersyukur penjenayah itu tidak melarikan pasport dia, anak perempuan dan suaminya.

"Saya merayu kepada mereka janganlah ambil pasport tersebut sebab anak tiri saya mangsa tragedi pesawat MH730 dan saya amat memerlukan pasport berkenaan untuk ke Australia jika ada apa-apa perkembangan terbaru. Alhamdulillah, mereka meletakkan semula pasport tersebut," katanya.

Rosila berkata setelah penjenayah terbabit keluar, dia segera ke rumah jirannya bagi mendapatkan bantuan sebelum melaporkan kejadian itu di Balai Polis Mengkuang.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani ketika dihubungi Bernama berkata kes sedang disiasat dan polis sedang memburu penjenayah itu.


Sumber Astro Awani

No comments:

Post a Comment