Tuesday, 29 April 2014

PULAU PERHENTIAN RAGUT 5 NYAWA SEJAK AWAL TAHUN INI


KAMPUNG RAJA – Seorang lagi pengunjung mati lemas ketika mandi di Pulau Perhentian, petang kelmarin, menjadikan keseluruhan yang mati lemas seramai lima orang tahun ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu,  mangsa, Shooban Soorai Sooria Demudu, 30,  ditemui terapung ketika mandi di Teluk KK Pulau Perhentian Besar.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pada jam 3.30 petang mangsa berketurunan India berasal dari Chemor, Perak bersama 12 rakannya menaiki sebuah bot untuk mandi di Teluk KK.

Menurutnya, setelah selesai mandi kumpulan terbabit naik ke atas bot dan pemandu bot yang mengira penumpang mendapati kurang seorang daripada jumlah asal.

“Setelah meninjau di sekeliling bot, pemandu bot dan rakan mangsa menemui mangsa terapung di permukaan air.

“Pemandu bot kemudiannya terjun mendapatkan mangsa dan terus membawanya ke darat sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian,” katanya.

Bagaimanapun pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke jeti Kuala Besut untuk dihantar ke bilik mayat Hospital Besut.

Kamaruddin berkata, ketika kejadian mangsa memakai jaket keselamatan malah mangsa boleh berenang manakala kedalaman air di situ kira-kira 1.5 meter.

Katanya, mangsa seorang ejen insurans tiba di Pulau Perhentian pada jam 9.30 pagi pada hari kejadian bersama 86 orang dari syarikat insurans di Pulau Pinang, Kedah dan Perak dan mereka dijangka pulang jam 9 pagi semalam.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarga petang semalam sebaik selesai bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

Kejadian lemas terakhir pada 8 April lalu membabitkan pelancong dari Guangdong, China, Liu Feng, 31, yang mati lemas di Pasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil ketika mandi bersama isteri dan rakannya.
-Sinar harian

No comments:

Post a Comment