Saturday, 29 March 2014

PENYANYI DANGDUT RHOMA IRAMA CALON PRESIDEN INDONESIA PALING DIBENCI RAKYAT ???


JAKARTA: Penyanyi dangdut Rhoma Irama menjadi calon presiden paling tidak disukai dalam kalangan suri rumah di Indonesia, menurut satu tinjauan nasional yang dijalankan Charta Politika baru-baru ini.


Hasil tinjauan itu menunjukkan hanya 1.8 peratus responden yang terdiri daripada suri rumah akan mengundi Raja Dangdut Indonesia berkenaan sebagai presiden Indonesia dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden 2014.

Pengerusi Charta Politika, Yunarto Wijaya berkata keputusan kaji selidik itu menunjukkan Rhoma menjadi tokoh paling dibenci dalam kalangan suri rumah bagi merebut jawatan tertinggi kerajaan Indonesia itu.

“Ini (Rhoma) adalah imej calon presiden yang paling dibenci,” kata Yunarto seperti dipetik akhbar Tempo, pada Jumaat.

Kajian turut memperlihatkan 38.6 peratus daripada suri rumah yang menjayakan kaji selidik itu merancang untuk mengundi calon presiden daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo.

Gabenor Jakarta yang lebih mesra dipanggil Jokowi itu menduduki tempat teratas dan paling disukai oleh suri rumah bagi merebut jawatan presiden Indonesia.

Calon kedua paling popular ialah Aburizal Bakrie daripada Parti Golkar yang memperoleh 13.1 peratus, diikuti Prabowo Subianto dari Partai Gerindra yang mendapat 11.4 peratus.

Tinjauan itu juga mendapati 8.4 peratus daripada responden akan mengundi Wiranto, 4.7 peratus bagi Jusuf Kalla, 2.7 peratus memilih Hatta Rajasa dan 2.4 lagi mahu mengundi Dahlan Iskan.

Kaji selidik itu melibatkan 1,200 responden yang dipilih dalam pelbagai peringkat persampelan rawak pengundi yang layak di Indonesia.

No comments:

Post a Comment