Saturday, 15 March 2014

#MH370 - PM SAHKAN OBJEK MISTERI DI RUANG UDARA SELAT MELAKA SELEPAS MH370 HILANG DARI RADAR ADALAH MH370


PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan objek tidak dikenal pasti yang dikesan cuba berpatah balik ke Semenanjung Malaysia dan menghala ke barat laut oleh radar militari adalah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Beliau berkata, menurut data terbaharu, komunkasi terakhir di antara pesawat tersebut dengan satelit adalah pada pukul 8.11 pagi Sabtu lalu.
“Hasil komunikasi maklumat satelit dan dibandingkan dengan maklumat radar militari, pesawat tersebut disahkan sebagai MH370,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang pada Sabtu.
Menurut Najib, berdasarkan maklumat tersebut, komunikasi pesawat dimatikan secara sengaja sebaik pesawat MH370 memasuki ruang udara Pantai Timur Malaysia.
“Transponder sengaja dimatikan semasa pesawat MH370 menghampiri sempadan Vietnam,” katanya.
Justeru, hasil maklumat terbaharu ini, Najib berkata, operasi mencari dan menyelamat pesawat tersebut di Laut China Selatan dihentikan.
“Pencarian MH370 kini bertumpu di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi,” katanya.
Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat segala kemungkinan.
“Kami masih menyiasat semua kemungkinan sehingga apa yang menyebabkan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya,” katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. – mStar Online

No comments:

Post a Comment