Thursday, 6 March 2014

HAFIZI ROSLEE SAMAN FAM


KUALA LUMPUR, 6 Mac - Bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Hafizi Roslee, yang digantung seumur hidup kerana didapati terlibat dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan, memfailkan saman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penggantungannya itu.

Hafizi, 29, selaku plaintif memfailkan saman pemula itu terhadap FAM dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, selaku defendan menerusi Tetuan Khairuddin Ngiam & Tan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pada 26 Feb lepas.

Media memperoleh salinan saman itu hari Khamis melalui peguam Kevin De Rozario yang mewakili bekas pemain bola sepak itu.

Kevin memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 17 Mac ini untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.

Dalam saman pemula itu, Hafizi memohon satu perintah supaya mahkamah membatalkan keputusan FAM yang menggantungnya seumur hidup daripada sebarang kegiatan bola sepak.

Hafizi memohon deklarasi bahawa segala tatacara dan prosiding tatatertib, hukuman dan rayuan dalam Kod Tatatertib FAM Edisi 2012 adalah tidak berperlembagaan, sebarangan dan bercanggah dengan peraturan keadilan asasi serta dasar awam.

Beliau juga memohon satu deklarasi bahawa perbicaraan yang dikendalikan FAM tanpa kehadirannya pada 20 Dis, tahun lepas adalah batal dan tidak sah.

Pada 20 Dis tahun lepas, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup selain denda berjumlah RM20,000 kepada Hafizi dan empat pemain skuad warga kota yang didapati bersalah dalam skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Mereka yang lain adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie dan Jeremy Danker.

Selain itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky dari Slovakia; Penolong Pengurus Rosli Omar dan Pegawai Pasukan Saari Jani yang didapati bersalah oleh jawatankuasa berkenaan, juga menerima hukuman yang sama.

No comments:

Post a Comment