Friday, 28 February 2014

IBU SAUDARA SEPERTI IBU SEBENAR BERBANDING IBU KANDUNG.....

Aishah bersama adiknya yang kini bersekolah di Kelantan
Aishah bersama adik-adiknya kini bersekolah di Kelantan

STOCKHOLM : Anak perempuan kepada pasangan yang didakwa di Sweden kerana didakwa memukul anak mereka berkata dia lebih rapat dengan ibu saudaranya yang dianggap ‘ibu sebenar’ berbanding ibu kandung sendiri.

“Saya lebih rapat dengan kakak ibu saya, saya rasa dia seperti ibu saya yang sebenar. Saya tidak berasa rapat dengan ibu kandung,” kata Aishah.
Mendengar penjelasan itu, ibu Aishah, Shalwati Nurshal kelihatan tersandar di tempat duduknya manakala suaminya Azizul Raheem Awalluddin memandang ke bawah sambil mengesat muka.
Ibu bapa Aishah ditahan pada 18 Disember tahun lalu selepas seorang daripada anak lelaki mereka iaitu Ammar memberitahu kakitangan sekolah bahawa dia telah dipukul.
Ketika ditanya adakah dia menyukai bapanya, Aishah memberitahu, hubungan antara mereka juga tidak begitu rapat dan dia lebih suka berada di dalam bilik daripada bersama bapanya.
Sebelum rakaman yang ditayangkan di Mahkamah Daerah Solna pada Selasa dirakamkan, Aishah dilaporkan telah bergaduh dengan ibunya berikutan pakaian yang dibeli oleh ibu saudaranya.
“Pada satu masa, ibu saudara membeli saya seluar jeans dan ibu saya berkata ia sepatutnya kurang daripada RM50.
“Tetapi saya mendapat dua pasang seluar yang kedua-duanya bernilai RM100 dan kerana itu ibu memarahi saya, dengan mengatakan ia terlalu mahal,” tambahnya.
Dalam satu temubual sebelum ini, Aishah memberitahu bahawa dia dan adiknya ingin tinggal bersama ibu saudara mereka di Malaysia selepas meluangkan masa di rumah keluarga angkat di Sweden.
Aishah dan adiknya – Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, tujuh – telah diletakkan bawah jagaan ibu saudara mereka Shalena Hisham Makhzan dan suaminya Nik Farid Nik Abdullah selepas kembali ke Malaysia pada 1 Februari.
Pada Feb 10, Shalwati dan Azizul didakwa kerana kesalahan memukul dan menyalahgunakan hak terhadap anak-anak mereka.
Kesalahan itu didakwa berlaku di rumah mereka di Spanga, antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Sumber: Mstar

No comments:

Post a Comment