Tuesday, 11 February 2014

GEMPAR ! POKOK PETAI MENANGIS TENGAH MALAM DI PASIR MAS !!!

Misteri pokok petai 'menangis'

PASIR MAS - Sebatang pokok petai yang didakwa mengeluarkan bunyi seakan-akan tangisan kanak-kanak menggemparkan lebih 300 penduduk di Kampung Binjai, Bunut Susu di sini.

Pokok setinggi 10 meter itu yang terletak di laluan utama kampung berkenaan turut didakwa mengeluarkan air seolah-olah air mata.

Penduduk Kampung, Abdul Razak Manaf, 57, berkata, kejadian itu mula berlaku pada malam Jumaat lalu dan berlarutan sehingga semalam.

“Saya menyedari kejadian pelik ini pada jam 3 pagi dan mulanya menyangka ia adalah tangisan anak kecil jiran sebelah rumah.

“Selepas bertanyakan perkara tersebut kepada jiran, saya diberitahu tiada tangisan yang berlaku pada malam itu,” katanya.

Menurutnya, bagaimana pun tangisan itu berulang kembali pada malam berikutnya.


Misteri pokok petai 'menangis'
Kedudukan pokok petai yang menjadi tumpuan orang ramai bermula dari jam 12 malam ke atas untuk menyaksikan keanehan yang berlaku.

Abdul Razak berkata, disebabkan perasaan ingin tahu yang menebal dia mengambil keputusan untuk mengesan bunyi tangisan itu.

“Saya terkejut apabila mendapati ia datang dari sebatang pokok petai yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah.

“Kejadian pelik itu turut didengari oleh jiran yang tinggal berhampiran dengan pokok berkenaan dan selepas itu perkara tersebut menjadi bualan penduduk kampung sehingga tempat ini menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja ada beberapa penduduk telah mengambil air yang didakwa air mata pokok petai berkenaan untuk tujuan perubatan.

Katanya, air tersebut digunakan untuk merawat penyakit antaranya strok, kulit dan sebagainya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Ismail Loman, 58, berkata, tangisan tersebut dapat didengari bermula jam 12 tengah malam dan ke atas.

“Kejadian itu cukup menghairankan penduduk dan ia merupakan kejadian aneh pertama di kampung berkenaan sejak menetap di kawasan itu 13 tahun lalu,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan kejadian mendapati terdapat kesan air yang didakwa air dari pokok berkenaan di atas jalan.

Misteri kejadian itu telah menarik puluhan orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan sendiri fenomena pelik tersebut secara lebih dekat.

Sementara itu Pengamal Perubatan Islam, Datuk Shamsuri Shafie berkata, kejadian tersebut berkemungkinan besar mempunyai kaitan dengan makhluk halus.

Beliau yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Tobibi berkata, berdasarkan kejadian yang sama pernah berlaku di sini beliau yakin kawasan tersebut pernah menjadi tempat pemujaan dan membuang barang-barang berkaitan makhluk halus.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu taksub dengan kejadian tersebut.

“Sepertimana dakwaan yang mengatakan pokok petai itu mengeluarkan air mata, saya berharap orang ramai tidak terpengaruh sehingga terlalu taksub dengan air tersebut.

“Ini kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku di Pulau Pinang, dan beberapa tempat di negeri sebelah utara.

Jika dipertimbangkan faktor tiupan angin, pokok-pokok tinggi seperti pokok petai ini biasanya akan mengeluarkan bunyi seakan-akan suara tangisan jika ditiup oleh angin.

Oleh itu, kemungkinan pokok petai berkenaan yang mengeluarkan bunyian itu ada kaitan dengan faktor alam semula jadi.

Manakala menurut sumber Jabatan Pertanian Pulau Pinang, 'air mata' yang keluar dari pokok dipercayai berlaku kerana serangga riang-riang jantan akan kencing setiap lima hingga enam saat ketika dalam proses mengawan terutama pada musim kemarau.

“Kemungkinan besar air yang turun seperti hujan renyai-renyai dari pokok petai ialah air kencing riang-riang terutama jika ia berkumpul dalam jumlah yang banyak kerana ia serangga bermusim,” katanya.

Namun begitu ada segelintir penduduk kampung kawasan kejadian tidak percaya pokok petai menangis disebabkan serangga riang-riang kerana beranggapan ‘air mata’ itu mempunyai khasiat tertentu. SH

No comments:

Post a Comment