Tuesday, 21 January 2014

SHAH JASZLE GAGAL GUGUR KES KHALWAT

Shah Jaszle
Shah Jaszle sedang ditemu bual oleh media di luar mahkamah

PETALING JAYA - Pelakon popular, Shah Jaszle, 26, gagal dalam permohonan rayuan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini untuk menggugurkan kes khalwatnya dengan bekas seorang kakitangan bank, Mei tahun lalu.

Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah menolak rayuan yang dikemukakannya menerusi Peguam Syarie, Ashraf Ranee pada 19 Disember 2013 kepada Ketua Pendakwa Syarie mahkamah tersebut.

Terdahulu, Pendakwa Syarie, Hasrul Hafidzi Ahmad Kamal memohon kepada mahkamah supaya kes tersebut dibicarakan selepas menjawab secara bertulis bagi menolak permohonan Shah Jaszle atau nama sebenarnya, Shahrizal Jaszle Jasmi pada 9 Januari lalu.

Hasrul Hafidzi turut memberitahu pihaknya akan mengemukakan sembilan orang saksi sepanjang prosiding itu berlangsung.

Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai tarikh bicara bagi kes tersebut dan mengarahkan agar kesemua saksi disepina sehingga tarikh perbicaraan.

Awal November lalu, pasangan khalwatnya didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan pelakon yang popular menerusi drama Asmara itu di Kayangan Apartment, Taman Sri Subang, dekat sini pada jam 3.50 pagi, 16 Mei 2013.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, di luar mahkamah Shah Jaszle di luar mahkamah memberitahu media jadual penggambarannya padat.

"Alhamdulillah, walaupun sedang menghadapi kes ini, rezeki saya tetap ada dalam bidang lakonan," katanya.

Ditanya mengenai status dengan tunangnya, Redzwani Putri Ismail, 26, beliau berkata, hubungan mereka pulih semasa Aidilfitri tahun lalu.

"Insya-ALLAH, jika tiada sebarang halangan, doakan kami ( berkahwin) tahun ini," katanya sambil tersenyum.

Pelakon itu hadir pada jam 9.50 pagi dengan memakai jubah putih dan bersongkok ditemani  ibu serta pengurusnya. SH

No comments:

Post a Comment