Monday, 20 January 2014

MAYAT WARGA MALAYSIA TERBUNUH DALAM SERANGAN BERANI MATI, DIJANGKA TIBA DI TANAHAIR MINGGU INI

Rakyat News

KUALA LUMPUR 20 Nov  -  Mayat Dr Gnanathurai Nagararaja, rakyat Malaysia yang terbunuh dalam serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan pada Jumaat, dijangka tiba di tanah air pada Rabu atau Khamis ini.

Perkara itu dimaklumkan adik lelaki mangsa, N.Premnath, 54, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, katanya perkara itu belum dapat disahkan secara rasmi oleh majikan abangnya, sebuah badan perunding ekonomi antarabangsa, Adam Smith International di Kabul.

"Selepas mayat tiba di sini, kami akan membawanya terus ke tempat pembakaran mayat di Kampung Tunku, Petaling Jaya untuk urusan pengebumian," katanya.

Gnanathurai, 66, Penasihat Dasar dan Pembaharuan Bajet di badan perunding terkemuka itu, terbunuh dalam kejadian serangan di Restoran Taverna du Liban yang turut mengorbankan 20 warga asing lain.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden berdarah itu, namun identiti Gnanthurai disahkan majikannya dalam satu kenyataan.

Premnath berkata mendiang abangnya meninggalkan seorang isteri, Eleanor, yang kini menetap di Manila, Filipina, serta empat anak - dua lelaki dan dua perempuan - yang juga menetap di luar negara.

Beliau berkata kesemua mereka akan pulang ke tanah air bagi menghadiri upacara pengebumian dan menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir.

Katanya perasaan bercampur-baur menyelubungi keluarga itu sebaik mengetahui kejadian malang yang menimpa abangnya.

Ia termasuk keadaan ibunya, Nagaratnam, 88, seorang penghidap strok, yang beliau gambarkan sebagai "belum memahami situasi sebenar" tentang Dr Gnanathurai.

"Semalam dia menangis tetapi saya rasa dia belum faham apa yang sebenarnya berlaku sehinggalah dia melihat sendiri mayat anaknya," katanya.

Premnath berkata anggota keluarganya serta saudara mara lain sudah mula berkumpul di rumah keluarga itu di Pantai Tower di sini, namun masih menantikan kehadiran yang lain yang banyak berada di luar negara.

No comments:

Post a Comment