Tuesday, 7 January 2014

ISU BUGHAH : KENYATAAN RASMI MUFTI PERAK

mufti perak

BANGI, 6 Jan – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi sebagai penjelasan berhubung kenyataannya dalam isu bughah.

Dalam satu kenyataan sebanyak enam muka surat itu, Tan Sri Harussani menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju jika demonstrasi dijadikan sebagai cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai.
Jelasnya, beliau tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.
Beliau juga risau sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.
Selain itu, beliau juga menyalahkan pihak media yang menemuramah beliau kerana tidak menyiarkan sepenuhnya kenyataan beliau dalam isu-isu yang berkaitan semasa sesi temuramah tersebut.
Atas sebab kerisauan yang amat tinggi, beliau menzahirkannya dengan mungulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golonganbughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
 KENYATAAN RASMI S.S. MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK BERKAITAN ISU “ BUGHAH ” DAN “ HALAL DARAH 
Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “Bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak dihalalkan golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “Bughah” dan demonstrasi.
Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemic dan kecelaruan kepada masyarakat. Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ TURUN” sahaja. Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.
Diizinkan Allah saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia. Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya. Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim. Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.
Nasihat dan peringatan
Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya. Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud :
“…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hokum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil…” .
Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa’ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.
Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.( tafsir Ibn Juza)
Saya berpandangan bahawa syarat “syaukah” yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.
Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.
Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen. Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya. Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah. Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya. Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.
Larangan memberontak
Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri ( daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar ”. Sahabat bertanya , “ Wahai Rasulullah ! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW “ Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada Allah ”.
Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim. Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada Allah dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka.
“Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Daud)
Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah member nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith:
“Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaanh sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah meminpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya.”(HR Imam Ahmad)
Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa “ para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya. Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai ”.
Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara’, perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab). Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.
Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat. Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku. Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mungulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.
Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua.
Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi ‘ayam laga’ kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :
Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)
Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.
Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan reality semasa di negara ini. Saya tiada niat lain kecuali mencari redha Allah dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa.

No comments:

Post a Comment