Monday, 16 December 2013

SIAPA ARTIS MALAYSIA BUAT PERANGAI TAK SENONOH DALAM PESAWAT ... ??


Ini adalah himpunan pengalaman sebenar ramai kenalan bertugas di awan biru. Ada antaranya buat Sha gelak terbahak-bahak sebab tak sangka ada juga selebriti kita yang kulit mukanya lebih tebal daripada kulit nangka. Kisah pertama mengenai sepasang selebriti sesuka hati duduk di kelas bisnes, walhal tiketnya untuk kerusi ekonomi. Sudahlah menyombong, jangankan nak jawab salam anak kapal, senyum pun tidak dibalas ketika masuk pesawat.


Dengan muka ketat, mereka meluru duduk di kerusi bisnes dan tindakan itu tentu mengejutkan anak kapal yang bertugas kerana nama pasangan suami isteri popular itu tidak ada dalam senarai. Apabila minta pas untuk pengesahan, pasangan itu menegaskan itu memang kerusi mereka. Bila didesak tunjukkan pas, sah tempat mereka sebenarnya di kelas ekonomi.

Dengan lembut, anak kapal minta mereka berpindah ke tempat sebenar tetapi mereka menolak dan tetap duduk di situ tanpa rasa malu. Nak disuruh berkali-kali bukan budak kecil lagi, terpaksalah anak kapal mengalah. Sudahlah menyombong, tak malu pula. Kejadian sama pernah dilakukan pelakon jelita yang juga model tersohor.

Kisah kedua, penyanyi kecil molek tapi tinggi suaranya pura-pura tidur sebab malas melayan permintaan anak kapal bergambar dengannya. Dari awal lagi sudah nampak dia tak berminat tetapi apabila tiba masa makan, boleh pula bangun. Tak payah kejut, bau makanan dari jauh pun dia sudah buka mata. Kerap juga dia berulang-alik naik pesawat, maklumlah kampungnya di seberang laut, maka perkara sama yang dilakukan.

Lain pula ceritanya apabila ahli kumpulan lawak naik pesawat. Mereka buat pesawat itu seperti kenderaan sendiri hingga mengganggu ketenteraman pengguna lain. Sudahlah bercakap kuat, ketawa pula mengalahkan langsuir. Seksa orang kiri kanan depan belakang terpaksa menahan sabar dengan kerenah ‘badut’ tak diundang itu. Sebut pasal kapal terbang, teringat kita cerita disampaikan jurusolek terkenal. Katanya, ada artis alah dengan pesawat tambang murah.

Bukan main lagi artis ini mengutuk perkhidmatan disediakan. Pendek kata, tak sesuai dengan kedudukannya. Namun pada satu pagi yang nyaman, dia terserempak dengan artis ini di LCCT. Siap berkelubung bagai takut dikenali. Cakap tak serupa bikin.


Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment