Monday, 16 December 2013

MAT SABU SYIAH - KDN ADA BUKTI EKSKLUSIF GRED A..... ???


Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan memiliki bukti eksklusif 'gred A' berupa pengakuan lebih 20 orang individu yang didakwa mampu 'menceritakan' kecenderungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dengan fahaman Syiah.

Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam kementerian itu, Zamihan Mat Zain Al-Ghari berkata, mereka merupakan individu-individu terdekat dan rapat dengan pemimpin yang dikenali sebagai Mat Sabu itu.

Jelasnya, malah individu berkenaan turut menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi mahkamah jika diperlukan.

''Ada yang 'sekapal' dari sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, yang jadi 'anak buah' dia. Mereka menyaksikan apa yang dia cakap, buat dan libatkan aktiviti-aktiviti berkaitan Syiah.

''Mereka juga pernah bersama-sama dia ke Iran dan menghadiri mesyuarat-mesyuarat kumpulan Syiah. Jadi, kalau orang yang dekat dengannya boleh mengemukakan bukti, nak nafi macam mana?

''Jangan lupa, bila dia ke luar negara, dia lawat siapa, pergi mana, sudah tentu ada aspek catatan rekod teknikal Jabatan Imigresen. Semua ada rekod dan bukti,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mengemukakan 10 maklumat yang didakwa dapat mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran Syiah antaranya, gesaan Timbalan Presiden Pas itu agar umat Islam di negara ini mencontohi cara kepimpinan Imam Khomeini di Iran.

Walau bagaimanapun sehingga kini Mat Sabu tetap bertegas menafikan dakwaan berkenaan dan berhasrat mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan.

Zamihan menambah, kementerian juga memiliki bukti yang mengaitkan Mat Sabu menghadiri seminar-seminar berkaitan Syiah di Iran selain kekerapan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Syiah di luar negara.

Beliau mendakwa, penglibatan Mat Sabu dengan Syiah bukannya perkara baharu tetapi dikatakan berlaku sejak era 90-an.

''Ada (bukti) gambar, tetapi tidak banyak termasuk video,'' jelasnya.

Zamihan turut menyelar kenyataan beberapa pihak termasuk pemimpin Pas yang menganggap 10 maklumat berhubung penglibatan Mat Sabu dengan Syiah sebelum ini sebagai bahan lawak.

''Kementerian mengemukakan 10 maklumat secara fakta. Kalau fakta-fakta ini ditarafkan sebagai lemah, lawak atau tak masuk akal, sila bawa fakta yang boleh nyahkan (menghapuskan) bukti-bukti kementerian itu.

''(Tetapi) sampai kini, tak mampu nyahkan bukti itu. Kita tak akan dakwa kalau tiada fakta. Kita bukan bercirikan politik atau nak aibkan individu berkenaan. Kita bercakap atas platform kebenaran,'' tegasnya.

Katanya, Syiah merupakan isu akidah yang jika tidak dibendung akan mengganggu keharmonian umat Islam. 

No comments:

Post a Comment