Saturday, 23 November 2013

KEMENTERIAN TUBUH PASUKAN KHAS SIASAT SOALAN SPM 2013 BOCOR


KOTA KINABALU 23 Nov. - Kementerian Pendidikan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan berlaku kebocoran soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan kertas Matematik dan Matematik Tambahan.


Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, walaupun pada dasarnya sukar untuk berlaku kebocoran, pihaknya tetap mengambil serius dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tersebut.

Ini kerana, katanya, kertas soalan SPM dicetak di Universiti Cambridge, United Kingdom dan prosedur penghantarannya dari universiti itu hingga ke pusat peperiksaan di negara ini adalah ketat termasuk pengawalan oleh pihak polis.

"Jadi, kalau hendak dikatakan masa pencetakan itu bocor (mustahil) dan perkara sebegini sudah lama tidak berlaku dengan paling terakhir adalah pada akhir tahun 90-an dan apabila disiasat tiada kebocoran sebenarnya," katanya dalam sidang media di sini hari.

Abdul Ghafar berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menafikan dakwaan PPIM dan akan menyiasat kes itu secara terperinci.

Beliau yang ditemui selepas sesi perjumpaan Program Jurulatih Peningkatan Sekolah (SISC) dan Program Rakan Pembimbing Sekolah (SiPartner), diminta mengulas mengenai laporan media semalam yang memetik PPIM sebagai mendakwa mereka menerima aduan daripada tiga individu berhubung perkara tersebut.

Individu berkenaan yang turut hadir dalam sidang media PPIM itu juga menyerahkan salinan yang dikatakan kertas soalan bocor kepada pemberita. - BERNAMA

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment