Wednesday, 27 November 2013

EDAR DADAH - PELAJAR PEREMPUAN UITM BAKAL KE TALI GANTUNG

PETALING JAYA  – Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam antara empat tertuduh yang berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja dengan berat kasar lima kilogram (kg) dua minggu lalu.

Puteri Nurzaitul Sheraz Hassan, 26, menghadapi pertuduhan tersebut bersama pasangan suami isteri, Rozman Ibrahim, 29, dan Zuraida Abdul Azizi, 28, serta K. Palanisamy, 50.
Mereka didakwa bersama-sama mengedar lima ketulan mampat dadah tersebut di tempat letak kereta tepi Jalan PJS 1/32, di sini kira-kira pukul 7.30 petang, 12 November lalu.
Kesemua mereka hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.
Sementara di mahkamah berasingan, pasangan suami isteri itu didakwa atas dua lagi pertuduhan mengedar dadah jenis ganja berjumlah 1.6 kg di sebuah rumah di No. 6, PJS 4/19, Taman Indah Jaya, Jalan Klang Lama, di sini kira-kira pukul 9.30 malam, pada tarikh yang sama.
Rozman yang bekerja sebagai tukang masak dan isterinya, suri rumah yang mempunyai dua anak berusia empat dan tujuh tahun itu hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan.
Tiada pengakuan direkodkan oleh Majistret Mohd. Nazri Omran daripada kedua-dua tertuduh. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment