Friday, 1 November 2013

ANCAMAN BUNUH KAPTEN KELANTAN : PARA PENYOKONG BUAT LAPORAN POLIS


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menerima ancaman bunuh menerusi laman sosial Facebook.  Ekoran ancaman tersebut, para penyokong The Red Warriors tampil membuat laporan polis pada pukul 6 petang semalam di Balai Polis Kota Bharu.

Laporan tersebut dibuat oleh Kelab Sukarelawan Bantuan Kemasyarakatan Kelantan (KSBK) bersama 20 ahli kelab yang diketuai oleh Presidennya, Roslan Ismail.

Menurut Roslan, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKM) membuat siasatan secara terperinci ke atas pemilik laman sosial berkenaan yang menggunakan akaun Elman Ganu.

“Sebagai penyokong dan peminat setia skuad bola sepak Kelantan, saya menyifatkan tindakan ini boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang membuat kenyataan tersebut.

“Laporan polis ini juga sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya jangan terlalu obses sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan diri sendiri,” ujar Roslan.


Elman Ganu menerusi ruangan sembang di laman sosial berkenaan bersama seorang yang lain, Budok Juvana, menulis: “Kelantan *$%*! Sial, kalau Kelantan menang Piala Malaysia, aku*#@%^&@$ akulah! Aku akan upah orang bunuh Badhri Radzi!! Indra Putra aku nak sula dia! Fakri aku nak dia jadi pembantu rumah aku!”

Sebelum ini, akhbar tempatan pernah melaporkan tonggak Kelantan, Indra Putra Mahyuddin turut menerima ancaman bunuh daripada seorang penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT).

Bagaimanapun, perancang tengah Kelantan itu menegaskan, dia tidak mahu ambil kisah dengan ugutan seperti itu, malah menganggap apa yang diperkatakan itu tidak lebih daripada sekadar gurauan semata-mata.

Badhri ketika dihubungi enggan mengulas ugutan tersebut sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Pahang di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.

No comments:

Post a Comment