Saturday, 9 November 2013

2 ADUN BN PERAK BAKAL LOMPAT PARTI SELEPAS JUMPA ANWAR ... ???



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap tweet berhubung pertemuan sulit antara dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mainan politik semata-mata.

Katanya, komen di media sosial tersebut yang memberitahu tujuan ADUN tersebut melakukan perkara sedemikian untuk melompat parti tidak boleh dipercayai langsung.
“Keadaan itu biasa terjadi dan sebelum ini juga mengatakan ada beberapa orang dari wakil pihak sana datang berjumpa saya….jadi semua yang didengari tidak boleh dipakai.
“Ini adalah permainan politik dan bukan sesuatu yang baru bagi saya kerana pengalaman sebegini telah berlaku sejak tahun 2009 lagi,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Professionalisme 1BestariNet untuk Pengetua dan Guru Besar sekolah-Sekolah Negeri yang berlangsung di Universiti Tun Abdul Razak, dekat Kampar, hari ini.
Tambahnya, perkara-perkara sebegini tidak perlu dilayan kerana yang paling penting sekarang adalah mentadbir negeri supaya mencapai kemajuan.
“Apa yang penting sekarang, kita perlu fokus untuk mentadbir serta memimpin Perak dan kurangkan politik.
“Berkat kesungguhan kita, akhirnya Perak dapat dibangunkan hingga mencapai tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.1 yang tertinggi di Malaysia dan inilah yang perlu dibanggakan,” ujarnya.
Tegas Zambry lagi, kejayaan sedemikian tidak akan dapat dicapai jika sepanjang masa beliau asyik memikirkan hal-hal berkaitan politik.
“Kalau saya asyik menumpukan kepada politik, sepanjang masa, saya berpolitik, akhirnya, saya tiada masa untuk menerajui negeri Perak.
“Saya tidak peduli apa yang diperkatakan oleh pembangkang tersebut, biarkan mereka dan apa yang saya mahukan adalah untuk berada bersama rakyat serta negeri untuk membangunkan Perak,” jelas beliau lagi.

No comments:

Post a Comment