Monday, 14 October 2013

ZAINOL FADZI NEKAD CABAR KETUA UMNO BAHAGIAN PASIR SALAK UNTUK KEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT


zainol

“Saya tidak mahu UMNO terus dianggap sebagai parti yang diperalatkan untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu sahaja,”.
Demikian tegas Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang menawarkan diri sebagai calon Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak yang bakal berhadapan dengan penyandang jawatan itu, Datuk Tajuddin Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak pada pemilihan yang dijadual berlangsung 19 Oktober ini.

Bercakap kepada Peraktoday.com, Zainol Fadzi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, berkata:
“Saya mahu mengembalikan semula kepercayaan masyarakat khususnya orang Melayu bahawa wadah dan perjuangan UMNO adalah untuk semua bukan untuk kepentingan peribadi atau satu-satu pihak sahaja.
“Oleh itu, saya berharap para perwakilan dapat membuat pilihan bijak berpandukan kepada sistem hari ini yang dirasakan lebih telus dan praktikal untuk mereka membuat pilihan pada 19 Oktober nanti,” katanya lagi.
Selain itu, UMNO Bahagian Pasir Salak juga katanya, digambarkan seolah-olah tidak lagi mantap kerana timbul dakwaan sogokan, rasuah politik, ugutan dan serangan peribadi yang dikatakan semakin berleluasa.
Beliau turut menegaskan kehadirannya adalah untuk memberi pilihan khususnya kepada para perwakilan untuk menilai sendiri situasi yang sedang berlaku dalam UMNO Bahagian Pasir Salak.
“Saya rasa keputusan menawarkan diri sebagai calon Ketua UMNO Bahagian kena dan tepat pada masanya kerana setiap tahun pengundi muda yang berpelajaran tinggi semakin bertambah dan saya percaya mereka ini semakin bijak membuat penilaian,” ujarnya.
Katanya, perubahan dari segi pentadbiran perlu dilaksanakan dalam usaha mentransformasikan UMNO Bahagian Pasir Salak.
Beliau juga menyuarakan hasratnya untuk memimpin generasi muda yang sentiasa menginginkan perubahan dari semasa ke semasa.
Menggunakan tema yang sama dengan pucuk pimpinan tertinggi parti iaitu ‘transformasi parti’, Zainol Fadzi bakal berhadapan persaingan tiga penjuru yang mana pencabar terdekatnya ialah Datuk Tajuddin Rahman.
“Saya mengambil keputusan bertanding di saat-saat akhir berdasarkan kepada pertimbangan yang sewajarnya.
“Saya juga berharap pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana kekeluargaan UMNO dan walaupun pesaing saya ini adalah pemimpin yang hebat, ia bukanlah halangan bagi saya,” ujarnya lagi.
Transformasi jelasnya, perlu dilaksanakan supaya parti UMNO sentiasa dilihat bersedia untuk menghadapi apa sahaja cabaran di masa akan datang.
Zainol Fadzi turut menyeru pemimpin terdahulu yang banyak berjasa kepada parti agar lebih berfikiran terbuka bagi memberi peluang kepada generasi muda untuk mengikut jejak langkah mereka.
Jelasnya lagi, usaha menarik sokongan generasi muda perlu dilaksanakan secara berterusan agar mereka sentiasa yakin dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

No comments:

Post a Comment