Tuesday, 8 October 2013

SHAHRIZAT MENUJU PUNCAK TANPA RANJAU BERDURI...???


Walaupun dikaitkan dengan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC), namun Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilihat tidak berdepan ranjau mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Wanita pada 12 Oktober ini.

Saingan tiga penjuru dengan exco Wanita Datuk Maznah Mazlan dan anak bekas ketua penerangan Umno Raihan Sulaiman Palestin, juga tidak menggugut peluangnya mempertahankan jawatan nombor satu pergerakan itu.

Kemampuan Shahrizat tidak dapat dipertikaikan selepas merampas kerusi itu daripada Tan Sri Rafidah Aziz pada 2009 dengan kelebihan hampir 300 undi. Shahrizat mendapat 507 undi manakala Rafidah yang dengan 280 undi.

Situasi semasa menunjukkan tujuh pergerakan Wanita negeri memberi sokongan kepada bekas menteri pembangunan wanita itu, sekali gus dilihat bakal memberi laluan mudah kepadanya.

Malah, negeri yang mempunyai anggota Wanita yang ramai - Sabah, Selangor, Perak dan Pahang - dilapor telah menyatakan sokongan terbuka kepadanya.

Ia sekali gus menggambarkan kekuatannya menjatuhkan penyandang empat tahun lalu masih utuh, yang berpunca daripada pendekatannya yang sering turun padang mempromosi pelbagai aktiviti, seperti Jalinan Kasih dan Skuad Sayang.

Malah, langkah bekas ketua puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said menarik diri mengurangkan lagi liku Shahrizat.

Sebelum ini, tindakan Maznah yang juga ADUN Muadzam Shah, Pahang, mencabar Shahrizat pada saat-saat akhir mengejutkan banyak pihak. Ironinya Wanita Pahang pula memberi sokongan padu kepada Shahrizat.

Maznah pada mulanya dianggap sesetengah pihak sebagai proksi Rafidah - dakwaan yang dinafikannya.

'Berpatah arang' bersihkan Wanita
Walaupun calon 'underdog', Maznah pada mulanya dilihat mampu memberi saingan kepada Shahrizat, bersandarkan pengalaman bergiat dalam Wanita Umno sejak tahun 70-an lagi.

Sepanjang tempoh itu, Maznah pernah memegang pelbagai jawatan, termasuk bekas timbalan menteri, exco kerajaan negeri, ketua Wanita negeri dan bahagian. Justeru, sudah pasti pengaruhnyati dak boleh diketepikan begitu sahaja.

Walaupun terpilih sebagai exco dengan kedudukan ke-16 daripada 20 exco dalam pemilihan lalu, sistem pemilihan baru dengan 100,000 perwakilan Wanita layak mengundi dilihat mampu memungkinkan sebarang keputusan.

Sekurang-kurangnya, pemerhati berpendapat Maznah boleh mengurangkan pengaruh Shahrizat
yang dikecapi sebelum ini.

Calon underdog itu juga dilapor percaya semua calon mempunyai peluang yang sama mendekati perwakilan menerusi majlis yang dianjurkan oleh Umno di setiap negeri.

Manakala Raihan pula dilihat lebih lantang apabila berazam "membersihkan" pergerakan itu, tanpa menghuraikan lanjut maksudnya itu.

Penulis buku dan pemegang sarjana sebuah universiti ternama tempatan itu memilih tema "Wanita Wasatiyyah Kembali Kepada Fitrah".

Sekalipun wujudnya usaha memujuknya menarik diri, namun Raihan tidak "berpatah arang berkerat rotan" dan tidak mahu mengecewakan hasrat penyokong-penyokongnya.

"Kalau peluang ini tidak digunakan, jadi jangan bercakap soal mahu perubahan, jangan lagi salahkan pemimpin, mengata pemimpin itu dan ini, kerana peluang untuk lakukan perubahan sudah ada tetapi mereka tidak lakukan," beliau dipetik sebagai berkata.

Azizah giant-killer naib ketua Wanita
Sementara itu, perebutan di peringkat naib ketua pula dilihat akan mengikut rentak sama apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun dijangka bakal menumpang populariti Shahrizat.

Banyak pihak melihat Azizah sebagai regu Shahrizat manakala Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob pula masih tidak jelas kecenderungannya.

Bagaimanapun, Suraya juga dikatakan sering dilihat bersama dalam beberapa majlis pertemuan dengan perwakilan dengan Shahrizat.

Daripada sudut kekuatan, Azizah juga dilihat sebagai 'giant-killer' apabila berjaya menumpaskan pemimpin berpengaruh Sabah Datuk Lajim Ukim di Parlimen Beaufort dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Sabah yang mempunyai perwakilan yang ramai juga memberi kelebihan kepada Azizah yang juga seorang peguam.


ANALISIS malaysiakini

No comments:

Post a Comment