Sunday, 6 October 2013

PERKAHWINAN GADIS BAWAH UMUR MENINGKAT


PETALING JAYA : Di Malaysia, dari segi undang-undang, kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun tidak boleh memandu atau membeli rokok.


Mereka juga tidak boleh menonton filem tertentu atau pergi ke kelab malam. Tetapi mereka boleh berkahwin – dan ia sah di sisi undang-undang.

Malah, semakin ramai yang berbuat demikian, berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Pada tahun 2012, terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin, di mana satu pihak, kebiasaannya bakal pengantin perempuan, adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin.
Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu.

Ini merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim.
Mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Malaysia, bersama-sama dengan lebih daripada 90 negara-negara lain, menerima pakai satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perkahwinan awal atau paksa kanak-kanak, pada Majlis Hak Asasi Manusia minggu lepas.

Bagaimanapun, data JKSM menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah sangat berleluasa di Malaysia.
Sisters in Islam (SIS) berkata adalah mengejutkan apabila perkahwinan kanak-kanak masih wujud di negara ini kerana kelemahan undang-undang perkahwinan dan kepercayaan yang berterusan bahawa kanak-kanak perempuan perlu dibenarkan berkahwin apabila mereka mencapai akil baligh.

“Kami berdiri bersama-sama PBB bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah berbahaya kepada kanak-kanak dan anak gadis, khususnya terdedah kepada penderaan, masalah kesihatan, masalah dalam mengakses pendidikan dan kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja,” kata Pegawai Undang-Undang SIS Kartina Mohd Sobri.

Memandangkan bilangan yang ketara, kerajaan perlu mengkaji semula peruntukan-peruntukan dalam undang-undang Syariah, adat dan sekular yang kini membenarkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun untuk berkahwin, kata Penasihat Program United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia Saira Shameem.

“Kita perlu membangunkan alternatif dan pilihan yang lebih progresif yang akan membolehkan anak-anak kita sepenuhnya mencapai tahap potensi mereka.

“Terdapat juga risiko terhadap kesihatan fizikal kanak-kanak perempuan yang berkahwin dan hamil terlalu awal.

“Hasilnya, hari ini di Malaysia kita mempunyai kanak-kanak perempuan bawah umur yang mati kerana komplikasi kesihatan ibu semasa bersalin,” katanya.

“Ini tidak boleh diterima, dan usaha-usaha perlu diambil untuk menyediakan alternatif dan pilihan yang sebenar untuk menyelamatkan nyawa orang-orang muda.”

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Haji Othman Mustapha, berkahwin pada usia awal “tidak dilarang dalam Islam tetapi pasangan yang berkahwin perlu cukup matang untuk memahami bahawa perkahwinan datang tanggungjawab yang besar”.

“Pasangan itu perlu tahu bahawa mereka telah bersedia untuk kehidupan di alam perkahwinan dan bahawa mereka telah dilengkapi dengan pengetahuan yang betul, terutamanya maksud dan peranan sebenar sebagai suami atau isteri dalam Islam. Paling penting, mereka perlu memahami sebab sebenar mengapa mereka berkahwin,” katanya.

“Jika ia semata-mata untuk memuaskan nafsu seksual mereka, mereka perlu tahu bahawa ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang bahagia dan berkekalan.”

Beliau menegaskan bahawa Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa umur minimum undang-undang untuk kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan anak-anak gadis Islam 16 tahun.

“Mereka yang berusia lebih muda dibenarkan untuk berkahwin dengan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah selepas kedua-dua belah ibu bapa membuat permohonan untuk melangsungkan upacara perkawinan anak mereka,” katanya.

“Perkahwinan dan memulakan sebuah keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar, sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Othman, sambil mengakui persoalan sama ada anak-anak muda hari ini mampu untuk mengendalikan perkahwinan pada usia muda timbul.

“Tetapi Mahkamah Syariah akan membuat penilaian yang teliti terhadap kesediaan mereka,” katanya, sambil menambah Mahkamah Syariah juga akan melakukan pemeriksaan terhadap ibu bapa sebelum memberi kelulusan. – Mstar.

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment