Friday, 25 October 2013

MUKHRIZ TIDAK MELATAH SERANGAN PEMBANGKANG


YAN : Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak akan melatah dengan cubaan pembangkang yang secara berterusan menyerang peribadinya ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berlangsung.

Malah Menteri Besar Kedah itu menegaskan beliau tidak akan terpengaruh dengan mainan politik pembangkang yang cuba menjatuhkan kredibilitinya sebagai pemimpin.

"Pihak sana (pembangkang) begitu bersungguh-sungguh mengata (memburuk-burukkan) saya, tapi saya tidak akan jawab atau mengata mereka balik kerana tidak mahu berlakunya pergeseran.

"Saya tidak mahu sentuh hal orang lain, biarlah mereka. Cuma satu perkara yang ingin saya nyatakan ialah apa yang mereka lakukan ke atas saya ini adalah sama dengan apa yang mereka buat kepada Allahyarhan Tan Sri Azizan (Abdul Razak)," katanya ketika berucap pada program Felda Kasih di Simpang Tiga Sungai Limau di sini, Khamis.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu dalam sidang media selepas itu, Mukhriz yang juga Pengerusi BN Kedah bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai maksud kenyataannya berhubung 'perkara' yang dilakukan ke atas Azizan.

"Penduduk di sini lebih tahu mengenai situasi politik yang mereka hadapi sebelum pilihan raya umum yang lepas. Mereka tahu apa jenis perilaku yang dibuat ke atas ustaz Azizan oleh pihak mereka (PAS) sendiri...bukan daripada kami (BN).

"Kita sangat sayangkan arwah, kalau kita imbau kembali dua atau tiga tahun lepas sehinggalah ke saat akhir apabila arwah terlantar sakit, masih lagi ada kenyataan serta komen yang agak kasar dibuat oleh partinya sendiri.

"Saya tak faham mengapa perkara ini boleh berlaku, dalam sidang DUN, kami (BN) yang mempertahankan bekas MB itu dan bukan pihak sana. Perkara ini terbukti dalam hansard DUN," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai suasana kempen yang masih perlahan walaupun sudah memasuki hari kedua, Mukhriz berkata BN sememangnya tidak bercadang menggunakan strategi kempen secara agresif.

Katanya, kempen secara berhemah dan sederhana merupakan formula terbaik dalam usaha meraih sokongan pengundi DUN Sungai Limau.

"Walaupun saya dapat pelbagai laporan yang menyatakan pihak sana agak agresif, walaupun begitu saya membuat keputusan untuk menggunakan pendekatan yang telahpun digunakan oleh ustaz Azizan sendiri iaitu berpada-pada dan tidak keterlaluan dalam kempen pilihan raya," katanya. 

No comments:

Post a Comment