Tuesday, 8 October 2013

DASAR KERAJAAN BANTU BUMIPUTERA TIDAK PINGGIRKAN KAUM LAIN, JAMIN KESELAMATAN NEGARA

628x471

NUSA DUA (BALI)  – Dasar kerajaan Malaysia membantu  bumiputera patut dilihat dalam konteks mewujudkan masyarakat yang adil dan  saksama memandangkan golongan itu mewakili 67 peratus penduduk yang jika  diabaikan boleh menjejaskan kestabilan negara.


Bercakap di hadapan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi  Asia Pasifik (APEC) yang memenuhi dewan plenari pada sesi dialog mengenai  Pelaburan Dalam Infrastruktur dan Modal Insan – Melabur Untuk Ekonomi Yang  Berdaya Tahan di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  justeru menolak tanggapan bahawa dasar afirmatif yang diperkenalkan bagi  membantu golongan itu akan mengekang daya tahan ekonomi negara.

“Golongan bumiputera meliputi 67 peratus penduduk yang termasuk orang Islam  dan bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Bayangkan jika golongan  (majoriti) ini dipinggirkan. Ia tidak akan membawa kepada kestabilan negara  dalam jangka panjang,” katanya.

Sesi dialog yang diadakan sempena Sidang Kemuncak CEO APEC 2013 itu  dikendalikan oleh Editor Kanan Bloomberg Businessweek, Diane Brady dan  turut disertai Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto sebagai ahli panel.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil maklum kritikan terhadap dasar  tersebut. Justeru pihaknya akan memastikan pelaksanaannya dibuat secara adil dan  mesra pasaran.

Beliau turut menjelaskan dalam pada dasar tersebut dilaksanakan untuk  membantu golongan bumiputera, bukan bumiputera turut menikmati manfaat  daripadanya.

Sementara itu, bercakap kepada wartawan Malaysia di hotel penginapannya,  Najib memberitahu, semua pemimpin APEC yang menghadiri sesi pemukiman sempena  sidang kemuncak kali ini menyatakan iltizam untuk meneruskan rundingan Pusingan  Doha bagi memastikan kejayaan gagasan itu pada masa depan.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu maka hal ini perlu ditangani  dengan mengambil usaha meneruskan rundingan yang tidak berjalan dan hampir  lupus,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, pada mesyuarat peringkat menteri  perdagangan negara-negara anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Bali  Disember ini, tumpuan akan diberikan supaya Pusingan Doha dipulihkan.

Mengulas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Australia, Tony  Abbott, Najib berkata, Malaysia akan memberi kerjasama bagi membantu mengatasi  masalah lambakan pencari suaka politik yang dihadapi negara itu.
“Saya dan Perdana Menteri Australia memutuskan supaya menteri berkenaan  merundingkan perkara ini untuk menentukan bagaimana kita boleh bantu dalam hal  ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pencari suaka politik menimbulkan masalah besar  kepada Australia kerana orang hanyut itu menjadi mangsa eksploitasi dan  pemerdagangan manusia.

Dalam pertemuan itu juga, Abbott turut memaklumkan perubahan dalam Rancangan  Colombo yang melibatkan pertukaran pelajar kedua-dua negara.

“Rancangan Colombo selama ini membawa pelajar-pelajar dari luar ke Australia.  Mereka akan mencadangkan supaya dilakukan fasa baru program ini yang mana  pelajar-pelajar dari Australia pula akan belajar di institusi pengajian di  Malaysia dan di negara lain supaya mereka lebih menghayati dan memahami budaya  di Malaysia dan ASEAN,” katanya.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, John Key,  kedua-dua pemimpin berbincang mengenai sokongan untuk mengisi kerusi anggota  tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi  penggal 2015-2016. Malaysia dan New Zealand masing-masing berminat untuk mengisi  kerusi itu.

“Ini tidak bertentangan sebab Malaysia adalah negara yang mewakili Asia dan  Pasifik manakala New Zealand masuk kategori negara-negara lain. Maknanya New  Zealand bersaing dengan Turki dan Sepanyol,” katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment