Wednesday, 11 September 2013

VIDEO MUZIK 'HARI MALAYSIA' KE-50 GABUNGKAN 3 ZAMAN



KUALA LUMPUR : Apakah persamaan yang ada pada video-video viral ‘Here In My Home’, ‘15Malaysia’ dan ‘Undilah’? Jawapannya ialah Pete Teo! Personaliti muzik popular yang sama, sekali lagi akan menjayakan video muzik terbarunya ‘Hari Malaysia’, sempena Hari Malaysia yang ke-50.

Dengan bantuan imej janaan computer dan efek visual, video muzik ini menggabungkan personaliti Malaysia pada zaman moden dengan rakaman arkib dari era 50an dan 60an, sekaligus membawa mereka bersama-sama menyaksikan detik bersejarah penubuhan negara.

Pasukan teknikal yang berkemahiran telah bertungkus-lumus selama lima bulan untuk menghasilkan karya ini dan video ini dijangka akan menjadi video muzik paling hangat di Malaysia tahun ini.

Menurut Pete Teo, idea untuk menggunakan bahan arkib dalam video muzik itu tercetus setahun yang lalu.

“Saya berpeluang untuk menonton satu program berita yang memaparkan rakaman upacara pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu.  Walaupun kualiti bahan visual tersebut kurang memuaskan, namun semangat kemerdekaan yang dirakamkan pada tarikh keramat itu tidak dapat dinafikan,”

“Terlintas di fikiran saya untuk membawa generasi sekarang menyerap semangat itu dengan membawa mereka kembali ke zaman penubuhan Tanah Melayu.” tambahnya lagi.

Diterbitkan oleh Bahir Yeusuff dan Albert Law, sebanyak dua versi video muzik dihasilkan iaitu Kembara, dalam Bahasa Malaysia, manakala versi Bahasa Inggeris berjudul Slipstream. Lagu tersebut digubah oleh Pete Teo dengan lirik oleh Amran Omar dan dinyanyikan oleh Asmidar dan Melina William.

Antara selebriti yang terlibat menjayakan muzik video ini ialah pelakon Sofia Jane, Michelle Yeoh, Sharifah Amani, Namewee, Jo Kukathas, ahli politik, Liow Tiong Lai, Nurul Izzah Anwar, Lim Kit Siang, Tunku Razaleigh Hamzah, Saifuddin Abdullah, ahli sukan Santokh Singh, aktivis Marina Mahathir, penyanyi David Arumugam, tokoh perniagaan, Nazir Razak dan ramai lagi.

Pemain violin terkenal Jepun, Sayaka Katsuki turut terlibat menjayakan versi Bahasa Malaysia, Kembara.
Sebagai satu hadiah kepada semua rakyat Malaysia, Pete dengan tulus hati berharap penghasilan video muzik ini akan menjadi hadiah terbaik sempena Hari Malaysia.

“Video muzik ini adalah hadiah pencetus semangat Malaysia kepada semua rakyat Malaysia dan aspirasi kemerdekaan yang sama telah Almarhum Tunku Abdul Rahman hadiahkan kepada kita semua, tanpa mengira latar belakang, darjat dan keturunan, marilah kita bersama-sama berkongsi hadiah ini.” harapan Pete untuk semua.

Muzik video ini akan ditayangkan secara eksklusif di laman video YouTube pada 16 September menerusi laman web projek diwww.harimalaysia.compada masa yang sama.

Peminat boleh berinteraksi dan mengikuti perkembangan terkini projek itu di media sosialwww.facebook.com/hari.msiabagi mendapatkan foto-foto di sebalik tabir pembikinan muzik video tersebut.

Klik untuk saksikan foto di sebalik tabir pembikinanMTV "Hari Malaysia".


-  AstroAwani

No comments:

Post a Comment