Monday, 30 September 2013

PELAKON AARON AZIZ MASIH SIHAT WAL'AFIAT...


SELEPAS digemparkan dengan berita Aaron Aziz  tidak sihat dan mengalami sakit sendi tengkuk minggu lepas, hari ini timbul pula berita mengejutkan yang mengatakan pelakon itu maut akibat kemalangan selepas bermain ski di Switzerland.

Berita itu telah tersebar di laman blog luar negara dan Facebook sekaligus menimbulkan rasa tidak percaya dan terkejut di kalangan peminat-peminatnya.

Terkejut dengan berita tersebut, Aaron yang sedang dalam perjalanan ke Cape Town untuk penggambaran Fear Factor Malaysia 2 akhirnya telah memuat naik satu video status dirinya yang terkini bagi memastikan peminat beliau tidak panik dengan berita yang tersebar meluas itu.

"Kepada semua peminat saya OK, jangan risau. Walaupun masih lagi ada denyutan di tengkuk, tapi semuanya semakin baik InsyaAllah.

"Jadi jangan risau, semuanya OK. Jaga diri semua," katanya.

Beliau berkata demikian setelah ramai yang bertanyakan tentang kematian dirinya itu.

Sementara itu, isteri Aaron sendiri, Diyana Halik turut menafikan berita itu menerusi laman Twitternya dan memberi amaran kepada individu yang bertanggungjawab ke atas berita palsu ini.

Penafian Diyana dikukuhkan lagi dengan gambar-gambar terbaru Aaron yang sedang dalam perjalanan ke Cape Town untuk penggambaran Fear Factor Malaysia 2 dan bukannya ke Switzerland seperti dilaporkan.

"Aaron Aziz sekarang di Capetown untuk penggambaran. Walaupun leher masih sakit tapi alhamdulillah akan sihat. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatannya.

"Kepada pihak yang menyebarkan dakwaan palsu ini, jangan main-main dengan isu hidup dan mati. Insya-Allah, Aaron akan diberikan usia yang panjang," katanya.

No comments:

Post a Comment