Wednesday, 25 September 2013

DATUK MAZNAH MAZLAN PROKSI RAFIDAH AZIZ...???


Tan Sri Rafidah Aziz menafikan calon jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan, adalah proksinya.




Malah, bekas Ketua Wanita UMNO itu menegaskan beliau tidak terbabit langsung keputusan Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Pahang, bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia bagi mencabar Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil pada pemilihan parti bulan depan. 


“Saya kini berada di luar negara, tidak terbabit,” kata Rafidah dipetik daripada akhbar Berita Harian.
Apabila ditanya berhubung dakwaan Maznah adalah proksinya Rafidah berkata: “Itu karut. Mengapa mereka takut dengan bayang-bayang?”.
Penyertaan Maznah di saat akhir menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua Wanita Umno, yang turut ditandingi anggota seumur hidup parti itu Raihan Sulaiman Palestin dan Shahrizat, yang mempertahan jawatan beliau pada pemilihan sayap Umno 12 Oktober ini.
Maznah berkata, pertandingan merebut jawatan ketua wanita bukan perkara baharu kerana sebelum ini, terdapat beberapa pemimpin pergerakan itu yang dicabar.
Sebagai contoh, Tan Sri Rafidah Aziz dicabar timbalannya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman pada 1996 yang menyaksikan Siti Zaharah mengalahkan Rafidah dengan kelebihan 27 undi.
Bagaimanapun, empat tahun kemudian Rafidah merampas semula jawatan itu daripada Siti Zaharah dengan kelebihan 12 undi.
Pada pemilihan 2009 pula, Rafidah yang memperoleh 280 undi tewas kepada timbalannya, Shahrizat, yang meraih 507 undi.

No comments:

Post a Comment