Saturday, 10 August 2013

DERITA SEORANG ISTERI DIJIRUS AIR PANAS REBUS KETUPAT OLEH SUAMI YANG BARU KELUAR PENJARA......


Kuala Lumpur : Sukar digambarkan penderitaan seorang isteri yang kini bertarung nyawa di hospital berikutan melecur teruk di muka dan badan akibat disimbah air panas oleh suaminya sendiri.

Lebih memilukan air panas itu dijerang mangsa untuk merebus ketupat yang dibuat khusus bagi memenuhi permintaan suaminya yang baru dibebaskan daripada penjara.

Sumber polis berkata, kejadian itu berlaku jam 9 malam menjelang 1 Syawal di Kepong Rabu lalu selepas pasangan suami isteri berusia 40-an itu bertengkar, namun tidak dapat dipastikan puncanya.

“Mangsa menjerang air untuk memasak ketupat sebelum ke ruang tamu mengemas rumah bagi menyambut hari raya. Tidak lama kemudian suaminya pulang ke rumah dan memaki hamun mangsa.

“Mangsa cuba menenangkan lelaki itu dan memintanya memberi penjelasan, tetapi tidak dihiraukan sebaliknya dia dipukul menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit,” katanya.

Menurut sumber itu, pertengkaran terbabit bertukar menjadi ganas apabila si lelaki terbabit hilang kawalan berlari ke dapur sebelum keluar semula dengan periuk berisi air panas dijerang mangsa dan terus menyimbahnya ke badan mangsa.

“Mangsa menggelupur kesakitan dan merayu suami supaya menghantarnya ke hospital selepas melecur teruk di badan serta muka.

“Bagaimanapun, lelaki itu yang mungkin panik bertindak melarikan diri dengan membiarkan mangsa keseorangan,” katanya.

Katanya, mujur jiran yang terdengar jeritan mangsa datang membantu dan membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum jiran itu membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi semalam mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu mangsa yang cedera agak parah kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran HKL.

-  myMetro

No comments:

Post a Comment