Wednesday, 3 July 2013

WIKILEAKS DEDAH AKAUN ANWAR CECAH RM209 JUTA DI LUAR NEGARA

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa dikejutkan dengan pendedahan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berhubung dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun bank di luar negara dengan jumlah simpanan mencecah USD66 juta (RM209 juta).

Jelas Liang, maklumat yang diperoleh menerusi internet seperti yang didedahkan oleh Wikileak itu turut mendedahkan bahawa kesemua akaun berkenaan dibuka di Amerika Syarikat, Israel, China dan Singapura.
Tambah Liang, menerusi data yang diperolehinya turut mengandungi maklumat terperinci termasuk nama, jawatan, nombor pasport, jenis akaun, nombor akaun, tarikh pembukaan dan tarikh pematangan simpanan tetap.
"Apabila saya membaca semua akaun ini di internet soalan pertama yang muncul dalam kepala saya dari mana datangnya wang sebanyak ini?
"Apa yang didedahkan oleh Wikileaks amat bahaya. Oleh itu saya meminta pihak kerajaan siasat kesahihan maklumat ini memandangkan akaun berkenaan dibuka di Israel sedangkan kita tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan negara tersebut," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat lewat petang Selasa.
Menurut Liang, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersikap hipokrit apabila mengutuk kekejaman tentera Israel namun pada masa yang sama mempunyai akaun simpanan di negara itu.
"Kelakuan hipokrit ini bukan sahaja menggadaikan nasib bangsa, agama, bahkan akan menggadaikan nasib negara pada suatu hari yang akan datang," katanya.
Ketika pendedahan itu dibuat, Anwar bagaimanapun tiada di Dewan.
Namun beberapa wakil rakyat pembangkang bangun mencelah sebagai usaha menghalang Liang daripada terus membuat pendedahan tersebut.
Tian Chua (PKR-Batu) ketika bangkit mencelah mendesak Liang mengemukakan bukti dan tidak membuat sebarang tuduhan melulu.
Sementara itu Jeff Ooi (DAP-Jelutong) pula menggesa supaya Liang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen sekiranya gagal mengemukakan bukti berhubung sumber maklumat berkenaan.
Suasana perbahasan Dewan Rakyat makin kecoh apabila Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula dengan lantang bersuara meminta pembangkang mengambil tindakan undang-undang terhadap Wikileaks. mStar Online

No comments:

Post a Comment