Wednesday, 17 July 2013

ANAK CINA KENA CULIK TIDAK MENGAKU HINA ISLAM, SEMUA KERANA WANG ...???


Pemuda yang diculik sekumpulan lelaki di Shah Alam kemudiannya diserang dan ditulis perkataan `saya hina Islam' di badannya, berkata kesnya itu tidak ada kena mengena dengan isu semasa membabitkan kontroversi gambar blogger seks menghina Ramadan.

Ng Mun Tatt, 21, berkata beliau diculik kerana wang dan perkataan `Saya hina Islam' itu adalah helah penyerangnya supaya beliau akan dipukul oleh orang awam jika cuba melarikan diri daripada mereka.

Ng berkata, beliau terkejut bagaimana gambarnya yang dirakamkan di balai polis boleh lepas ke tangan orang lain dan disiarkan di laman sosial Facebook (lihat di SINI), sebelum keterangannya diambil oleh polis.

"Saya lebih terkejut apabila polis memberitahu saya bahawa kes yang berlaku kepada saya ini tercetus daripada kes blogger seks itu," katanya di sidang akhbar di Klang, hari ini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai mereka, atau menyinggung sesiapa baru-baru ini," katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki dari Shah Alam itu diperlakukan demikian akibat kenyataannya yang menyentuh sensitiviti agama berkaitan paparan facebook oleh Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24.


Bercakap di sidang akhbar itu, Ng berkata, pengalaman pahitnya bermula apabila beliau sedang minum bersama teman wanitanya, Rachel Leong, 16, dan seorang lagi rakan di Seksyen 25, Shah Alam, kira-kira jam 4.30 petang pada Isnin. "Dua lelaki menghampiri saya. Seorang berbisik di telinga saya bertanya adakah saya `Ah Kiong', sementara seorang lagi memberitahu rakan dan teman wanita saya supaya senyap di kerusi masing-masing. "Tanpa menunggu jawapan saya, lelaki itu menarik kemeja T saya dan mengheret saya ke sebuah kereta yang sedang menunggu," katanya. Katanya, ada empat lelaki dalam kereta Proton Saga berwarna kelabu itu. 

Ng mendakwa dia dipukul, ditutup mata dan dibawa ke sebuah pangsapuri. "Saya tidak tahu saya dibawa ke mana. Mereka mengambil kad ATM saya dan meminta number PIN," katanya dan menambah bahawa mereka terus memukulnya hingga tidak dapat mengingati number PIN itu. "Mereka juga menghubungi abang ipar saya meminta RM5,000 untuk pembebasan saya," katanya. 

Ng berkata, beliau kemudian dibawa ke sebuah estet sebelum dibogelkan dan mereka menulis perkataan di tubuhnya serta memaksanya menghidu gam. "Lelaki itu beritahu saya mereka tulis perkataan itu di badan saya saya supaya orang awam akan pukul saya jika cuba hendak melarikan diri," katanya. "Saya khayal disebabkan hidu gam, tetapi tidak beberapa lama kemudian saya tersedar apabila mendengar bunyi bising. 

Saya menanggalkan kain penutup mata dan nampak tujuh lelaki yang sedang khayal. Hari juga sudah terang jadi saya melarikan diri. "Saya mendapati saya berada di lebuh raya DUKE dan ada penunggang motosikal membantu saya menghubungi polis. "Saya hanya mahu menjelaskan keadaan bahawa kes saya tidak ada kena mengena dengan blogger seks itu seperti yang dilaporkan media hari ini," katanya. 

Katanya, beliau tidak pernah mendengar nama pasangan itu sehingga semalam dan menambah dalam tempoh dua bulan terakhir ini, beliau bekerja di kedai telefon bimbit di Johor sebelum kembali ke Shah Alam untuk menetap bersama kakaknya. Ng, yang kini tidak bekerja kelihatan masih berada dalam keadaan terkejut dan lemah ketika bercakap dengan pemberita awal hari ini. 

Mengenai gambarnya yang kini tersebar, beliau berkata:"Saya tidak tahu siapa mengambilnya, tetapi saya berada di balai polis ketika itu," katanya dan menambah tidak tahu di balai mana. "Polis belum mengambil kenyataan saya lagi tetapi saya diberitahu untuk hadir ke balai polis Seksyen 9 untuk kawad cam," katanya. Sementara itu, abang ipar Ng, Mak Wui Weng, 28, berkata penculik terbabit menghubunginya kira-kira jam 5 pagi dan meminta beliau memasukkan wang RM5,000. 

Mak berkata, beliau hanya memasukkan wang sebanyak RM3,000 dan memberitahu mereka perlu membawa Ng bertemunya, jika mahu baki wang berkenaan. - 17 Julai, 2013. 

No comments:

Post a Comment