Tuesday, 9 July 2013

AMALAN UTAMA DI BULAN RAMADHAN.... SELAMAT BERAMAL


Terdapat banyak amalan sunat yang menjadi keutamaan pada bulan Ramadhan. Antara amalan utama pada bulan Ramadhan ialah: 

a. Menunaikan solat sunat Terawih pada setiap malam bulan Ramadhan. 
b. Membaca dan bertadarus al-Quran. 
c. Memperbanyakkan amalan sedekah. 

Selain itu, terdapat juga amalan-amalan lain yang boleh di lakukan seperti qiamullail, beriktikaf di masjid dan sebagainya. 


 1. Solat Terawih 
Pengertian :  Solat sunat yang dikerjakan selepas solat isyak pada Bulan Ramadhan. 
Dalil : Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.

Aisyah r.a. berkata; “Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda S.A.W. mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan ramadhan.
Hukum : Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
Cara Solat Tarawih : Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Insyak sehinggalah ke larut malam. Sembahyang Terawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain.

Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Insyak. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Insyak. Sembahyang Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat Subuh.
Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:


Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, ditunaikan dua rakaat satu salam. Solat ini boleh ditunaikan sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat dan digalakkan berjemaah. 
 Kelebihan Sembahyang Tarawih : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu
 2. Tilawah Al-Quran 


Pengertian :  Tilawah Al-Quran bermaksud membaca Al-Quran. 

Kaifiatnya :  Membaca secara bersendirian atau bertadarus. Tadarus bermaksud membaca beramai-ramai secara bergilir-gilir, menyemak, membetulkan bacaan, serta memahami maknanya bersama-sama. 


Adab-adab Membaca al-Quran : 
·                     Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.
·                     Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.
·                     Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu’ dan tenang.
·                     Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.
·                     Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta’awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta’awwudz.
·                     Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.
·                     Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.
·                     Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut.
·                     Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.
Fadhilat dan hikmah :  
i. Al-Quran memberi syafaat di akhirat. 
ii. Menenagkan jiwa 
iii. Menyembuhkan penyakit 
iv. Menjauhkan diri daripada gangguan Iblis 
 3. Sedekah 

Pengertian : Mendermakan harta yang berlebihan melebihi keperluan kerana Allah s.w.t. 

Kaifiat :  Mengeluarkan harta dan bersedekah kepada orang yang memerlukannya seperti orang miskin dan anak yatim. 
Bersedekah mestilah ikhlas dan tidak menunjuk-nunjuk. 


Fadhilat dan hikmah : 


i. Menampung kecatatan puasa 
ii. Di ampunkan dosa 
iii. Pahala berlipat ganda 
iv. Mendapat rahmat Allah s.w.t 
v. Di jauhkan daripada azab neraka dan di dekatkan ke syurga. 
 Sumber Rujukan : 
1.Hamil @ Amir Abdul Hameed & Mohd Shukri Othman, 2008, Pendidikan Islam, Sasbadi. 
2.Musyarawahab, 1995, Roh Ramadhan Aidil Fitri. 
3.LaluKhidir, 1981, Puasa dan Aspek-aspek Kehidupan Manusia.

No comments:

Post a Comment