Thursday, 13 June 2013

PERWAJA DIPERINTAH BAYAR RM146.139 JUTA KEPADA PETRONAS


KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Perwaja Steel Sdn Bhd membayar RM146.139 juta kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung kegagalan membayar bekalan gas di Kemaman, Terengganu. 

Hakim P.Nallini, yang membenarkan permohonan PETRONAS untuk penghakiman ringkas dalam kamar, juga memerintahkan Perwaja membayar faedah pasca penghakiman empat peratus setahun sehingga tarikh penyelesaian dan kos RM20,000. 


Nallini juga menolak tuntutan balas Perwaja atas alasan peruntukan dalam Akta Persaingan 2010 tidak boleh digunapakai dalam kes sekarang. 

Dalam penghakiman bertulis 47 halaman, Nallini berkata, tidak ada isu berbangkit yang perlu dibicarakan. 

"Dalam permohonan itu saya mendapati tiada isu-isu serius untuk dibicarakan. Saya membuat kesimpulan bahawa penyusunan interim masih sah dan wujud melepasi 29 Jan 2012. Ia masih boleh terus diguna pakai," katanya. 

Nallini juga berkata latar belakang fakta kes ini tidak rumit sehingga memerlukan testimoni lisan. 

"Ia adalah semata-mata tuntutan untuk hutang yang kena dibayar dan terhutang untuk bekalan gas kering, bekalan yang tidak dipertikai," katanya.


PETRONAS memfailkan saman terhadap Perwaja Steel pada 18 Jan berhubung kegagalan syarikat pengeluar keluli itu menjelaskan bayaran bagi gas yang dibekalkan ke lojinya di Kemaman, Terengganu. 

Dalam pernyataan tuntutannya, Petronas menuntut RM146.139 juta sehingga 31 Dis 2012, faedah berjumlah RM10.313 juta sehingga 10 Jan tahun ini selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment