Sunday, 9 June 2013

MANHAJ AKIDAH IMAM AL-SYAFI'I

Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 8 Jun 2013
 Imam Muhammad bin Idris Al-Syafi’i rahimahullah merupakan seorang tokoh Islam yang agung dan cukup dikenali oleh rata-rata umat Islam di Timur dan Barat sehingga tidak ada majlis-majlis ilmu melainkan disebutkan di dalamnya nama beliau.

Beliau rahimahullah lahir pada tahun 150H dan hidup dalam keadaan yatim di bumi Gaza, Palestin. Beliau telah menghafal Al-Quran ketika masih muda iaitu sebelum umurnya tujuh tahun, setelah ibunya membawa beliau ke Hijaz, sebuah tempat berhampiran Makkah. Beliau hidup dalam keadaan sangat miskin mengenangkan dirinya adalah seorang yatim. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah melimpahkan ke atasnya nikmat kecerdikan dan kepintaran, di samping ibu yang sangat prihatin di dalam mengasuh beliau.
Apabila guru kepada Imam Al-Syafi’i melihat kepandaian dan kepantasan minda beliau, Imam Al-Syafi’i adakalanya diangkat menggantikan tempat gurunya di dalam mengajar anak-anak murid gurunya. Disebabkan terlalu miskin, beliau menulis ilmu yang dia dapatkan di atas tulang, dan setelah banyak, dia memasukkan tulang-tulang itu ke dalam sebuah bekas besar.
Ibunya yang risau dan menitik beratkan persekitaran dan didikan yang baik untuknya telah membawanya ke Makkah supaya dapat terus menerima tarbiyah sebaik mungkin. Makkah pada masa itu menjadi pusat ilmu. Kepintaran minda yang dimiliki oleh Imam Al-Syafi’i adalah kelebihan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas manusia seperti mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: “Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, dia akan diberikan kefahaman terhadap agama.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Imam Al-Syafi’i rahimahullah telah memberikan penekanan dalam tiga perkara; Pertama, menghafal Al-Quran dengan hafalan yang tepat lagi sempurna. Kedua, penguasaan Bahasa Arab, kerana Bahasa Arab adalah kunci kepada memahami Al-Quran dan Al-Sunnah. Selamanya seorang penuntut ilmu tidak akan dapat memahami apa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan RasulNya sallallahu ‘alaihi wasallam kecuali dengan menguasai Bahasa Arab. Adapun memahami agama dengan selain Bahasa Arab, kita akan bergantung kepada penterjemah.
Ketiga, beliau memberi penekanan kepada Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini membuatkan beliau telah menghafal dengan sempurna kitab Al-Muwattha’ Imam Malik di Makkah sebelum mencapai 20 tahun. Kemudian barulah beliau bermusafir ke Madinah untuk bertemu Imam Malik.
Imam Al-Syafi’i rahimahullah berulang alik di antara Makkah dan Madinah sehinggalah wafatnya Imam Malik, dan beliau telah menghimpunkan sebanyak mungkin ilmu yang dimiliki oleh Imam Malik sehingga beliau menjadi hujah serta rujukan di dalam bahasa Arab secara khasnya.
Sekembalinya ke Makkah, jiwanya dahagakan ilmu dari Ulama Yaman mengenangkan beliau mengetahui bahawa Yaman adalah gudang ilmu. Akibat kemiskinan, ibunya memohon bantuan saudara mara untuk membawa Imam Al-Syafi’i ke Yaman, dan menggadaikan rumah ibunya di mana wang itu diberikan sebagai bekal kepada Imam Al-Syafi’i.
Imam Al-Syafi’i hidup pada zaman awal pemerintahan ‘Abasiyah, di mana pemerintah pada masa itu telah menjadikan mazhab Hanafi sebagai pegangan. Mereka mengangkat ulama Hanafi sebagai rujukan dan sistem kehakiman turut merujuk kepada mazhab Hanafi. Imam Al-Syafi’i bermusafir ke Baghdad untuk mengambil ilmu dari Muhammad bin Al-Hasan Al-Syaibani rahimahullah iaitu anak murid kepada Imam Hanafi sendiri. Di antara ciri mazhab Hanafi pada masa itu adalah memberi penekanan kepada masalah-masalah berkaitan muamalah dan jual beli mengakibatkan penumpuan lebih kepada permasalahan seperti ini.
Baghdad pada masa itu menjadi pusat ilmu kepada umat Islam di mana ramai di kalangan ulama menetap di Baghdad, dan di situ jugalah Imam Al-Syafi’i bertemu dengan ulama-ulama hadis antaranya Imam Ahmad rahimahullah dan selainnya. Di sinilah Imam Al-Syafi’i memulakan penulisan buku-buku utama beliau. Beliau menulis kitab Al-Risalah Al-Uula yang menghimpunkan ilmu Usul Fiqh dan Mustalah Hadis. Di dalamnya beliau  menghimpunkan kaedah-kaedah dasar dan prinsip-prinsip salaf. Apa yang dilakukan oleh Imam Al-Syafi’i ini dianggap suatu yang cukup penting dan tidak dilakukan oleh Ulama pada masa itu.
Selepas itu, satu peristiwa yang cukup penting berlaku di Iraq. Ulama Ahli Kalam dan Muktazilah telah berjaya menguasai keadaan politik. Mereka menyebarkan fahaman Al-Quran itu makhluk di kalangan masyarakat Umat Islam. Ini membuatkan para Ulama seperti Imam Ahmad dan Imam Muhammad Al-Khuza’i bertindak untuk menyanggah pemahaman yang sesat ini.
Hal ini membuatkan Imam Al-Syafi’i mengambil keputusan keluar dari Iraq. Beliau berpindah ke Madinah dan membaca semula kitab Al-Muwattha’. Kemudian Imam Al-Syafi’i mula berfikir untuk bermusafir ke Mesir. Beliau membuat keputusan untuk berhijrah ke Mesir kerana ingin menyelamatkan akidahnya dari akidah Ahli Kalam dan juga Muktazilah.
Apabila tiba di Mesir, beliau berdepan dengan musibah yang kedua. Beginilah dilema yang dihadapi oleh orang-orang Ghuraba (asing) dalam agama, hidup di dalam keterasingan, tetapi berada di dalam kebaikan di saat manusia lain telah rosak. Di sana, beliau berdepan dengan masalah taksub (fanatik) mazhab Imam Malik. Beliau bersungguh-sungguh menyanggah sikap taksub mereka itu dengan lisannya dan penanya sehingga ramai dari kalangan Muslimin kembali kepada kebenaran.
Inilah perjalanan agung yang dilalui Imam Al-Syafi’i rhm yang mengambil tempoh kira-kira 50 tahun di mana hasilnya beliau telah menghimpunkan perkataan ulama dan ilmu-ilmu kaedah dan prinsip yang sebahagiannya akan diulas sebentar lagi.
PRINSIP IMAM SYAFI’I DALAM AKIDAH
Pertama: Berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dan tidak menolak satu pun daripadanya dengan apa juga bentuk takwil (mengubah maksud). Beliau sangat menekankan supaya berpegang dengan Sunnah sehingga beliau dinamakan sebagai Nasir Al-Sunnah (Pembela Sunnah). Beliau memerintahkan pengikutnya supaya terus berpegang dengan Sunnah dan mengharamkan mereka menyelisihi Al-Quran dan Al-Sunnah, dan menjadikan prinsip beliau, “Sekiranya hadis itu sahih maka itulah mazhabku”.
Beliau berkata, “Apabila kamu dapati kata-kataku bercanggah dengan hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam maka hendaklah kamu mencampakkan kata-kataku ke dinding.” Juga beliau mengatakan, “Aku beriman dengan Allah dan dengan apa yang diturunkan oleh Allah berdasarkan apa yang dikehendaki oleh Allah. Aku juga beriman dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang dibawakan oleh Baginda mengikut apa yang dikehendaki oleh Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.”
Juga termasuk dalam apa yang sangat penting dan ditekankan oleh beliau rahimahullah adalah prinsip berpegang dengan hadis-hadis ahad dalam akidah.
Imam Al-Syafi’i tidak akan menolak hadis dengan apa juga takwil ataupun penyimpangan. Bahkan beliau berpegang dengan zahir nas, sejajar dengan zahir nas itu berdasarkan Bahasa Arab dan apa yang difahami oleh generasi Salaf Al-Soleh. Juga di antara kata-kata beliau adalah Al-Quran dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah di antara satu sama lain.
Kedua: Tidak menyanggah Al-Quran atau Sunnah dengan hujah akal. Beliau mengatakan, “Seperti mana pandangan mata ada had dan batasnya, begitu jugalah dengan akal manusia memiliki had dan batasnya.”
Maka di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, nas Al-Quran dan Al-Sunnah sama sekali tidak akan bercanggah dengan akal manusia yang sihat. Adapun perselisihan berlaku antara keduanya apabila muncul ilmu kalam yang tidak menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai hujah sebaliknya mereka menjadikan falsafah dan akal sebagai hujah.
Ketiga: Penekanan terhadap perkataan atau pemahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum. Imam Al-Syafi’i rahimahullah sangat menjunjung tinggi kedudukan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau telah menghimpunkan banyak atsar ataupun kata-kata para Sahabat dan juga salaf di dalam buku-buku karangan beliau. Beliau mengatakan, “Sesungguhnya para sahabat lebih mendahului kita kepada kebaikan berbanding kita, dan kefahaman mereka lebih baik daripada kefahaman kita.”
Inilah perkara yang menjadi ijma’ Ulama Salaf sepanjang zaman, berbeza dengan Ahli Bid’ah serta golongan yang mengagungkan Syaikh-syaikh serta Ulama mereka.
Keempat: Menjauhi bid’ah dan ahli bid’ah. Beliau rahimahullah sangat membenci bid’ah dan juga orang-orang bid’ah, dan beliau selamanya tidak akan duduk bersama mereka kecuali kerana darurat atau untuk mengajarkan mereka agama. Ini kerana beliau risau kalau terpengaruh dengan kesesatan mereka. Maka menjauhi golongan bid’ah menjadi satu penawar buat kita dari terkesan dengan penyakit mereka. Apabila beliau melihat ahli bid’ah beliau berkata, “Sama ada kamu berbincang dengan kami dengan cara yang baik atau kamu beredar sahaja.”
Kelima: Mencintai sesama saudara Islam serta menjaga sillaturrahim sesama mereka. Beliaurahimahullah sanggup menggadaikan hartanya pada jalan Allah untuk membantu kaum Muslimin, dan bersabar di dalam menanggung kemiskinan dan kesusahan, dan beliau juga bersabar terhadap kezaliman pemerintah. Inilah antara prinsip-prinsip penting dan utama yang menjadi pegangan Imam Al-Syafi’irahimahullah.
Oleh: Syaikh Dr. Muhammad bin Abdul Wahhab Al-‘Aqil, Pensyarah di Jabatan Akidah, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi
Susunan teks: Ustaz Idris bin Sulaiman, Ahli Majlis Syura iLMU

No comments:

Post a Comment