Tuesday, 25 June 2013

KUALITI UDARA BERBAHAYA DI SERI MANJUNG, BEBERAPA SEKOLAH MULA DITUTUP HARI INI

Indeks Pencemar Udara (IPU) di negeri Perak menunjukkan peningkatan bacaan mulai semalam apabila semua stesen pemantauan kualiti udara mencatat tahap yang tidak sihat iaitu melebihi 101.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar, bacaan IPU tidak sihat direkodkan di semua stesen tersebut mulai pukul 10 malam iaitu Seri Manjung (191), Tanjung Malim (168), Jalan Pegoh Ipoh (116), Jalan Tasek Ipoh (103) dan Taiping (101).
Katanya, data IPU jam 6 pagi ini menunjukkan semua stesen terbabit mencecah paras tidak sihat iaitu Jalan Tasek (136); Jalan Pegoh Ipoh (171); Taiping (138), Seri Manjung (270) dan Tanjung Malim (174).
“Berikutan kemerosotan tahap kualiti udara ini, semua rakyat dinasihatkan mengambil langkah pencegahan bagi memelihara kesihatan sendiri dan keluarga khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi.
“Jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru dan penyakit paru-paru kronik,” kata kenyataan itu lagi.
Antara kesan yang dialami akibat terdedah secara berterusan kepada jerebu adalah rasa gatal-gatal atau iritasi di bahagian hidung, kerongkong dan kulit.
Ia juga akan mengakibatkan batuk, sesak nafas, hidung; mata terasa pedih dan berair serta kulit badan terasa gatal-gatal.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda itu, kata kenyataan itu lagi.
Orang ramai juga dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, orang tua dan mereka yang berpenyakit dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti-aktiviti sukan, riadah dan kegiatan di luar rumah.
Penutup hidung hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih
Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat penyaman udara dan menutup semua tingkap kenderaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.
Para pemandu kenderaan pula dinasihatkan memasang lampu kenderaan apabila situasi penglihatan menjadi tidak baik semasa pemanduan bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.
Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk tidak membuat pembakaran terbuka serta melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian kecemasan 999 atau Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Bilik Kawalan JAS Perak di talian 05-2542744.
Sementara itu, sehingga pukul 11.00 pagi tadi, kualiti udara di Seri Manjung mencatat tahap yang tidak sihat iaitu pada bacaan 333. Admin difahamkan (melalui beberapa murid dari sekolah berlainan yang ditemui), beberapa sekolah mulai ditutup hari ini. Murid-murid telah dibenarkan pulang awal iaitu selepas waktu rehat persekolahan.....

No comments:

Post a Comment