Monday, 3 June 2013

KEMATIAN TAHANAN TAMPIN : JANGAN LAKUKAN SEBARANG SPEKULASI


SEREMBAN - Polis meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu mengenai kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini lewat petang semalam.


Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kejadian itu masih dalam siasatan dan menafikan ia ada kaitan dengan unsur jenayah sama ada mangsa dipukul atau didera.

"Dalam Twitter contohnya, kita dapati banyak spekulasi dibuat mengenai kematian tahanan tersebut dan menuduh kejadian itu adalah angkara polis. Ini sebenarnya tidak adil kepada polis.

"Ini adalah 'straight forward case' di mana pihak Hospital Tampin sendiri yang membuat pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tidak ada kesan kecederaan seperti luka atau lebam pada badan mangsa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, P.V Karuna Nithi, 42, yang ditahan sejak Selasa lalu selepas memukul isterinya ditemui tidak sedarkan diri oleh anggota polis bertugas di lokap berkenaan bagaimanapun masih bernafas sekitar 6.30 petang.

Polis kemudiannya bertindak memanggil ambulans dari Hospital Tampin, tetapi pasukan paramedik yang tiba mengesahkan kematiannya pada pukul 7 petang.

Osman berkata, pihak polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokap berkenaan dan mendapati tiada sebarang kekerasan berlaku ke atas mangsa sepanjang penahanannya.

Katanya, seorang koroner dari Mahkamah Seremban juga telah datang melihat mayat mangsa semasa di lokap dan mengesahkan tiada kesan luka, lebam atau kecederaan padan badan mangsa. - Bernama

No comments:

Post a Comment