Thursday, 13 June 2013

BLOGGER PERLU DEDAHKAN IDENTITI......???



KUALA LUMPUR : Pemilik blog dan portal yang menyebarkan maklumat tidak sahih dan fitnah akan dikenakan tindakan tegas selepas kerajaan mewajibkan mereka meletakkan maklumat identiti sebenar tidak lama lagi, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menegaskan, peraturan dan ketetapan sendiri itu bertujuan memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap maklumat disampaikan, sekali gus mengelak perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dirosakkan oleh maklumat palsu.

Sehubungan itu, Najib menegaskan, tidak akan ada lagi penulis tidak bernama dalam blog atau portal seperti sekarang bagi memastikan mereka lebih bertanggungjawab terhadap tulisan masing-masing.

Hari ini landskap media dan organisasi berita mengalami perubahan amat pesat dengan kehadiran media cetak dan elektronik yang dilengkapi media dalam talian. Demokrasi media dan kebebasan bersuara menjadi kenyataan.

Penggunaan semua bentuk media ini dapat kita saksikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Penyebaran pelbagai bentuk pembohongan, fitnah dan hasutan kebencian dalam media sosial oleh kelompok yang menggelar diri mereka sebagai wartawan seperti yang berleluasa ketika PRU-13 tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berleluasa, akan mendatangkan kesan buruk kepada negara,katanya.

Beliau berucap pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012, di Hotel Istana, di sini, malam tadi.

Najib bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menapis internet walaupun kerajaan mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia dan Rang Jaminan Koridor Raya Multimedia (MSC).

Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita seperti dilakukan negara jiran tetapi bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk memastikan pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen bangsa, agama, bahasa atau cuba memperkecilkan institusi Raja Berperlembagaan serta mencuba merosakkan sistem demokrasi berparlimen, akan diambil tindakan, katanya lagi.

Beliau menegaskan, kerajaan akan memastikan rakyat yang sedang menghadapi cabaran kematangan sekarang tidak bersikap melampau selepas menikmati kemajuan pesat dalam landskap media dan organisasi berita.

Sehubungan itu, rakyat harus mampu memanfaatkan kebebasan bersuara sebaik mungkin kerana jika corak tenaga baru yang datang daripada kebebasan bersuara itu tidak digunakan dengan baik, mereka akan terkeliru. 

No comments:

Post a Comment