Wednesday, 29 May 2013

TRAJEDI BOT KARAM : 11 LAGI MANGSA DITEMUI SELAMAT


SIBU : Sebelas lagi penumpang bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga di pedalaman Sarawak semalam berjaya diselamatkan, menjadikan jumlah penumpang yang terselamat dalam tragedi itu 192 orang, kata Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Bakar Sebau. 

Beliau berkata, kumpulan terbaru mangsa itu diselamatkan lewat malam tadi oleh sebuah tongkang yang lalu di kawasan itu dan kemudiannya dibawa ke pusat perlindungan sementara di sebuah rumah panjang berhampiran lokasi kejadian. 


Katanya, setakat ini jumlah sebenar penumpang yang menaiki bot itu tidak dapat dipastikan memandangkan senarai penumpang belum dikemukakan kepada polis. 

Bakar berkata, jumlah penumpang yang dinyatakan semalam dibuat berdasarkan temu bual dengan pengusaha bot dan mangsa yang terselamat. 

"Setakat ini, kami tidak dapat menyatakan jumlah sebenar mangsa yang masih hilang...melainkan kami ada senarai penumpang," katanya ketika dihubungi dari sini hari ini. 

Bot ekspres 'Kawan Mas' sedang dalam perjalanan dari Bakun di pekan Belaga menuju Kapit apabila dikatakan terlanggar batu dan karam dekat Tanjong Giam Bungan antara jam 8.30 pagi dan 9 pagi semalam. 

Sementara itu, Bakar berkata pasukan mencari dan menyelamat menetapkan kawasan lingkungan 3km di sekitar lokasi bot itu karam untuk menjalankan operasi mencari. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment