Monday, 20 May 2013

MOHON SUAKA DI BRITAIN SELEPAS INGIN DIJADIKAN ISTERI KE - 14 RAJA SWAZILAND...


London : Seorang gadis kini memohon suaka di Britain selepas dia ingin dijadikan isteri ke-14 pemerintah Swaziland, Raja Mswati III.
Tintswalo Ngobeni, 22, melarikan diri dari negara di selatan Afrika itu ke England ketika masih berusia belasan tahun selepas menarik perhatian raja berkenaan yang terkenal dengan gaya hidup mewahnya. Sebagai sebahagian daripada adat Swaziland, Mswati III, 45, dibenarkan memilih isteri baru pada setiap tahun. Tintswalo berkata, dia meninggalkan negara kelahirannya ketika berusia 15 tahun dan kini menetap di Birmingham.

Foto
TINTSWALO percaya dia boleh ditahan atau dibunuh jika kembali ke Swaziland.
Menceritakan pengalamannya dilamar, Tintswalo berkata, dia menarik perhatian raja itu ketika melawat istana isteri keempatnya, LaNgangaza.
“Sejak itu dia mula menghubungi saya di sekolah dan bertanya jika saya mahu menjadi sebahagian daripada keluarganya.

“Walaupun ketakutan, saya mendiamkan perasaan itu,” katanya.

Menurut Tintswalo, dia sedar jika memberi persetujuan menjadi isteri Mswati III, seluruh hidupnya akan ditumpukan kepada raja itu. Seperti isteri lain Mswati III, dia akan ditempatkan dalam istana dengan dijaga pengawal peribadi dan tidak boleh pergi ke mana-mana tanpa izin.
Satu-satunya lawatan yang dibenarkan Mswati III kepada isterinya ialah mengunjungi Amerika Syarikat setahun sekali untuk membeli-belah. Justeru, Tintswalo nekad mengetepikan hidup dan pendidikannya yang selesa di sebuah sekolah berasrama swasta dan merancang melarikan diri ke England.

Kata Tintswalo, rancangan itu dilakukan dengan bantuan ibu saudaranya.
“Saya tak ada pilihan.

“Tiada sesiapa pernah menolak kemahuan raja sebelum ini atau mengingkari hajatnya,” katanya.

Akhirnya Tintswalo meninggalkan Swaziland dan menuju ke England untuk menetap bersama ibunya yang sudah ke Birmingham lima tahun sebelum itu.

Ibu Tintswalo meninggalkan Swaziland untuk menjauhkan diri daripada suaminya yang suka mendera. Sejak tiba di England, Tintswalo menjadi pengkritik utama kepada rejim Swaziland - negara yang mengharamkan parti politik dan aktivis pula ditahan atau diganasi dari semasa ke semasa. - Daily Mail

No comments:

Post a Comment