Thursday, 16 May 2013

ISTIADAT ANGKAT SUMPAH MENTERI KABINET DI ISTANA NEGARA

Muhyiddin mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Abdul Halim pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara  -  FotoBERNAMA


KUALA LUMPUR  : Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai istiadat angkat sumpah jawatan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi di Istana Negara, pagi Khamis.

Istiadat angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Upacara penuh istiadat itu disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir menyaksikan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula pukul 10.10 pagi sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda berdua.

Selepas Muhyiddin, enam menteri kanan iaitu Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta simpan rahsia masing-masing, diketuai Mohamed Nazri.

Selepas itu, acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang.

Ini dimulakan dengan Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Dr S. Subramaniam (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (Menteri Kewangan II).

Mereka disusuli kumpulan kedua iaitu Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar), empat Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Joseph Entulu Belaun, dan Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Idris Jusoh menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Abdul Halim  - FotoBERNAMA

Ini diikuti kumpulan Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Hasan Malek (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), Datuk Richard Riot Jaem (Menteri Sumber Manusia), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Barisan terakhir ialah Datuk Paul Low Seng Kwan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Khairy Jamaluddin menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Abdul Halim. - FotoBERNAMA

Seramai 24 timbalan menteri turut mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini.Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, dif-dif kehormat dan para jemputan yang kebanyakannya anggota keluarga barisan kabinet.

Najib telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Jumaat, 6 Mei.

Semasa mengumumkan anggota jemaah menteri yang baharu pada Rabu, Najib berkata ia terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda yang diyakini mampu meneruskan agenda transformasi nasional.

Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi parlimen bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Selepas upacara itu, Tuanku Abdul Halim berkenan bersama-sama Najib serta barisan menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri untuk sesi bergambar.



No comments:

Post a Comment