Thursday, 9 May 2013

(IMBAS KEMBALI) LAHAD DATU : CATITAN NGERI WARTAWAN - GALI KUBUR, MAYAT MEMBUSUK.....


Pagi Isnin, 8 April lepas, penulis serta kira-kira 10 wakil media menjadi krew pertama memasuki kawasan panas itu, yang menyaksikan dua anggota komando VAT 69 Polis Diraja Malaysia terkorban diserang militan dari Selatan Filipina.
Melangkah masuk ke Kampung Tanduo, zon merah yang menjadi saksi pendaratan penceroboh militan Sulu dengan pasukan keselamatan, hati penulis menjadi agak panik.

Dua yang terbunuh dalam pertempuran pada 1 Mac lepas ialah ASP Zulkifli Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor.

Walaupun menghadapi kesukaran pada mulanya untuk memasuki kawasan itu ekoran kawalan ketat oleh pasukan tentera yang menjaga sepanjang laluan ke Kampung Tanduo, kami akhirnya dibenar masuk ke kampung itu selepas menghubungi Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Memasuki kampung itu, perasaan penulis bercampur gembira, teruja dan gementar kerana membayangkan kalaulah sekiranya ada saki baki pengganas yang mengintai kami dari jauh, tembakan pastinya akan singgah.

Syukur, dengan kawalan keselamatan yang ketat oleh anggota polis yang mengiringi kami dan pasukan tentera yang tinggal di beberapa kem di kampung itu, hati menjadi lega.

Jaket kalis peluru dan topi keselamatan yang dibekal pejabat menjadi 'pendinding' diri ketika itu, selain doa yang tidak putus-putus meminta dipermudahkan segalanya.


GALI MAYAT

Kedatangan kami ke Kampung Tanduo memberi pengalaman berganda, kerana bukan sahaja berpeluang melawat buat kali pertama ke lokasi pertempuran yang menjadi sejarah hitam negara.

Malah, secara kebetulan pada ketika itu, pasukan forensik sedang bersiap sedia untuk menggali mayat pengganas yang dikesan ditanam 'rakan seperjuangan' mereka.

Pada hari itu, kira-kira pukul 1.00 petang, seorang lelaki diupah untuk menggali tiga lubang, yang dikesan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan berdekatan kem tentera di situ.

Lima belas mayat yang dipercayai terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan 1 Mac lepas, berjaya dibawa keluar.

Penulis yang pada mulanya teruja untuk melihat lebih dekat proses penggalian itu, akhirnya tewas dan beredar dari kawasan itu kerana bau yang amat busuk menusuk hidung selain fizikal mayat yang dikeluarkan satu persatu itu amat mengerikan.

Kesemuanya yang masih berpakaian lengkap termasuk seorang pengganas wanita, mereput, dan ada antaranya yang sudah kehilangan anggota badan yang lain.

Hujan lebat sekejap-sekejap dan berhenti, seakan 'tidak merelakan' proses penggalian itu berlangsung, sehingga mengakibatkan pihak polis terpaksa mengambil masa yang lama untuk menamatkan proses membawa keluar mayat itu, yang akhirnya berakhir pukul 5 petang.

Kesemua mayat kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat.


LAWATAN RUMAH ANAK MAT BOM, KUBU PENGGANAS

Seakan bernasib baik, pada keesokan harinya, penulis masih lagi berpeluang memasuki perkampungan itu. Kali ini dengan 'tiket' lawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang yang mahu meninjau beberapa lokasi insiden pencerobohan tersebut.

Rombongan yang menaiki 12 kenderaan diiringi dan dikawal ketat oleh tentera dan polis memperlihatkan hampir semua rumah mempunyai kesan tembakan akibat pertempuran dan ada yang hanya tinggal tiang, atap atau serba tidak lengkap, satu gambaran yang sebelum ini hanya dilihat dalam peperangan di luar negara menerusi televisyen.

Kemusnahan itu adalah ekoran kedegilan kumpulan itu berundur dari Kampung Tanduo setelah diberi peluang sehingga memaksa kerajaan melancarkan gerakan ofensif ke kubu penceroboh itu dengan menggunakan tiga jet penyerang F/A 18D Hornet.

Gerakan ofensif Operasi Daulat itu diteruskan dengan lima pesawat Hawk melancarkan operasi pengeboman, diikuti ledakan bertalu-talu mortar 91mm pasukan tentera darat sebelum penggeledahan dilakukan untuk memburu saki-baki pengganas.

Tinjauan seterusnya ke rumah anak Mat Bom, individu yang menjadi tali barut kepada pengganas tersebut.

Tinjauan mendapati rumah tersebut musnah dibakar dan jentera pengorek tanah, yang dipercayai digunakan untuk mengorek kubu dan menggali lubang kubur, berada di hadapan rumah tersebut.

Pengorek tanah itu juga musnah terbakar.

Difahamkan, selepas Mat Bom berjaya ditahan pasukan keselamatan, isteri dan anak-anaknya terpaksa tinggal di pusat sementara.

Tan, yang diberi taklimat khas oleh Pegawai Turus Gerakan (PTG) Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah DSP Toipi Lamat, kemudian berjalan menuju ke kawasan sekitar rumah tersebut yang menyaksikan beberapa lubang yang digali pengganas untuk dijadikan kubu pertempuran mereka menentang pasukan keselamatan.


PANTAI TANDUO SAKSI PENDARATAN PENGGANAS

Lokasi terakhir yang kami lawati ialah pantai Tanduo yang menjadi tempat pendaratan pertama sekumpulan pengganas berkenaan.

Di pantai ini, bangkai bot yang terbakar, yang digunakan pengganas untuk belayar ke kampung ini masih tersadai di persisiran pantai, selain masjid lama yang digunakan mereka sebagai markas.

Kelihatan kumpulan tentera yang ramai menjaga pos kawalan sementara yang dibina bagi menghalang sebarang cubaan kemasukan pengganas.

Tan berkata walaupun kawasan itu sudah boleh dikatakan bebas daripada anasir-anasir pengganas, pihak keselamatan sentiasa memantau kawasan tersebut dan setakat ini belum ada perancangan untuk menamatkan operasi kawalan di kawasan itu.


KAMPUNG TANDUO DITUTUP, HANYA TINGGAL NAMA


Pada permulaan semasa insiden pencerobohan berlaku, kampung yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu ini ditutup oleh pihak keselamatan dan tidak lagi menjadi kawasan penempatan penduduk.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula berkata pihak tentera belum berhasrat mahu meninggalkan kampung itu dan memberi gambaran bahawa tentera akan terus menjaga keselamatan kampung berkenaan walaupun sudah tidak ada ancaman.

"Yang pastinya bukan kem tetap yang akan didirikan di kampung ini, tetapi ia (kem) akan diwujudkan di kawasan Felda Sahabat di sini dengan kerjasama Felda," katanya. ( BERNAMA )

No comments:

Post a Comment