Sunday, 26 May 2013

HATI SIAPA BAGAI DIROBEK-ROBEK DENGAN ARTIKEL INI......???

Hiasan

BILA HATI MELAYU MATI

(Mingguan Malaysia 26 Mei 2013)

Ketegasan Menteri Pendidikan mengenai kedudukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beberapa hari lalu menarik perhatian saya. Kerajaan berpendirian, jika UEC mahu diiktiraf, mereka mesti melakukan pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara. Ini keputusan yang tepat, adil dan sangat bertoleransi. Jika ada tidak bersetuju, carilah negara lain yang boleh bersetuju.

Beginilah sepatutnya cara seseorang negarawan bertindak. Tanpa rasa takut. Cukuplah kita menjadi ahli politik hebat menjelang dan ketika pilihan raya. Apabila telah menang, tibalah masanya bertindak sebagai negarawan. Melihat kepada kepentingan semua, berbanding bangsa, dengan berpaksikan kepada perlembagaan.

Isu pendidikan Cina acapkali dan telah lama dibangkitkan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan sekutunya yang lain seperti seperti Jiao Zong, Dong Jiao Zong, Hua Zong dan berbagai Zong lagi. Nasihat saya, tidak perlu layan permintaan mereka lagi. Sudahlah. Kita sudah beri lebih daripada mencukupi. Apa balasannya?

Tidak keterlaluan saya katakan, selagi kita tidak penuhi permintaan mereka, sehingga kucing bertandukpun mereka akan terus desak dan tuntut. Segelintir Cina tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak memenuhi segala tuntutan kecinaannya. Mungkin tulisan ini terlalu ekstrem, tetapi inilah hakikatnya untuk  memahami budaya politik Cina.

Kita selalu mengajak orang lain keluar daripada kepompong rasis. Persoalannya, adakah orang Melayu sahaja yang perlu keluar dari sikap rasis? Kalau Melayu tidak fikir untuk Melayu, adakah orang lain yang diharapkan berfikir untuk masa depan Melayu. Adakah kita mengharapkan orang Cina berfikir untuk Melayu? Jika ada Alhamdulillah. Ia baik untuk pembinaan negara bangsa.

Realiti yang ada, pantang ada sedikit dikaitkan dengan Melayu, akan ditentang habis. Jika diasimilasikan atau diassociatekan dengan orang putih, tidak mengapa? Dengan Melayu pantang sekali. Inilah sikap rasis ultra kiasu.

Sebab itulah, ketika majlis angkat sumpah exco, pembukaan sidang parlimen atau DUN, atau apa jua majlis rasmi yang melibatkan raja, tidak ada seorangpun yang memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu). Rata-ratanya memakaikan blazer dan tali leher. Sehingga pakai songkokpun mereka tidak mahu.

Seolah-olah memakai pakaian kebangsaan ini satu penghinaan. Wal hal, apa salah, ‘berkorban’ seketika, bukannya tiap-tiap hari, lima tahun sekali atau mungkin setiap kali penggal persidangan parlimen atau DUN.  Hina sangatkah memakai pakaian ini? Sudah sampainya kita wajibkan pemakaian tersebut. Jangan terlalu memberi kebebasan atas nama demokrasi, kita juga yang akan rugi nanti.

Bayangkan jika pakaian etnik masing-masing dibenarkan dalam majlis-majlis sebegini, maka meriahlah, berwarna-warnilah majlis rasmi tersebut seolah-olah pesta pakaian, bukan majlis rasmi. Tidak ada seorangpun kalangan mereka yang akan memakai pakaian kebangsaan. Sedangkan pakaian kebangsaan adalah untuk semua, bukan untuk orang Melayu. Samalah juga pemahaman sekolah kebangsaan untuk semua, bukan untuk orang Melayu.

Saya yakin selepas ini, untuk meraikan orang lain atau memastikan lebih ramai bukan Melayu menyertai, sekolah kebangsaan akan menjadi lebih liberal dan terbuka. Tidak mustahil, ada identiti penting Melayu akan tercabut.

Ini tidak termasuk menunaikan janji-janji PRU13 baru-baru ini untuk menambah sekolah, memberikan tanah dan banyak lagi tawaran sebagai alasan untuk memancing undi mereka kononnya.

Apakah akan berlaku suatu hari ini, demi untuk meraikan semua, kita yang berubah menjadi mereka, bukannya mereka yang sepatutnya berubah menjadi kita. Semua dasar mesti disesuaikan untuk mereka, bukan mereka menyesuaikan dengan sesuatu dasar kebangsaan.

Kita mempunyai dasar yang baik, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya. Bila tiba kepada perlaksanaan, selagi sesuatu bangsa itu tidak diraikan, selagi itulah dasar tersebut tidak diterima.

Ultra kiasu selalu berhujah, UEC telah diiktiraf di seluruh dunia, kenapa tidak di Malaysia? Jawapannya, kerana diiktiraf dunialah, menjadikan perangai mereka sanggup menterbalikkan jalur gemilang sebagai protes kepada kemenangan UMNO BN dalam PRU13 baru-baru ini. Kebanyakan mereka adalah lulusan UEC. Apakah jenis manusia sebegini yang ingin kita lahirkan.

Banyak negara lain yang tidak tahu berbahasa Cina, negara tersebut tetap maju dan urusan dengan negara China berjalan seperti biasa. Pendek kata, isu bahasa bukan isu hidup mati kemajuan sesebuah negara. Iran begitu aktif berhubung dengan negara China, tidak pula kedengaran, kerajaan Iran mewajibkan rakyat belajar bahasa Cina.

Sebelum PRU13, Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah telah menjemput Dong Zong untuk berbincang tentang pengiktirafan UEC. PM menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA. Tawaran sebeginipun sukar diterima? Apa lagi yang Cina mahu? Saya fikir persoalan ini tidak keterlaluan. Ketika kerajaan mula berlembut, adakah budi dibalas?

Permintaan PM ini terlampau kecil jika dilihat kelulusan membenarkan sekolah vernacular beroperasi secina-cinanya. Kenapa tidak dihargai toleransi ini? Mereka tetap bersangka buruk. Pada mereka, jika diberikan penekanan kepada BM, ia akan meninggalkan kesan kepada Pengajaran dan Pembelajaran bahsa Cina. Pendek kata, mereka mahu penguasaan mandarin secina-cinanya.
Kehendak mereka tidak mengapa gagal BM, asalnya lulus mata pelajaran lain yang semua diajar dalam mandarin sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA.

Sekarang inipun, kesan daripada sekolah vernakular, berlaku polarisasi di kampus yang amat ketara. Pergilah ke IPTA. Jangan banding dengan IPTS, kerana majoriti mereka begitu ramai. Pergilah melihat Kolej New Era Kajang yang dipunyai sendiri oleh Dong Jiao Zong dan lulusan UEC mereka. Itupun kerajaan dalam kempen baru-baru ini mahu memberikan pengiktirafan sebagai Universiti penuh beberapa kolej Cina di Pulau Pinang. Dengan tawaran ini, adakah mereka simpati dengan kerajaan?

Saya mohon kepada kerajaan sebelum memberikan apa jua kelulusan kepada sekolah atau universiti perkauman ini, buatlah kajian terlebih dahulu. Beri kami geran untuk membuat kajian seperti ini. Ini tidak, sudah kajian tidak dibuat, asyik menyerang orang lain.

Misalnya, kontroversi kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat, harus dilihat secara positif. Kedua tokoh ini bersependapat sekolah vernakular menjadi punca perkauman semakin meluas di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara. Mereka turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sehingga kini, parti pembangkang dan ultra kiasu tidak habis-habis mengecam kenyataan yang dikatakan tidak bertanggungjawab kedua-dua tokoh tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

Kenapa harus mangsakan tokoh ini? Buatlah penyelidikan terlebih dahulu untuk melihat kebenarannya. Fikirkan agenda nasional, daripada agenda bangsa. Ultra kiasu menyuruh kita berhenti bercakap soal rasis. Tindak-tanduk mereka lebih rasis daripada orang rasis.

Tidakkah kita sedar kerajaan telah membantu SJKC sehingga menenggelamkan sekolah agama. Persoalannya, adakah guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan ini mengundi UMNO BN? SJKC sebenarnya menjadi lubuk melahirkan lebih ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.

Ingatan saya kepada orang Melayu, jangan menjadi terlalu liberal dan bersekongkol dengan ultra kiasu. Misalnya, pendirian Ketua Pegawai Eksekutif Melayu yang telah digula-gula dengan jawatan tinggidi syarikat penerbangan murah. Beliau dengan lantang berkata "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. Nasihat saya, jaga baik-baik syarikat tambang murah ini. Tidak perlu campur perkara di luar bidang. Kalau tak tahu lebih baik diam. Fikirkan bagaimana cara untuk memanjangkan skirt dan menutup dada paramugari Melayu di syarikat penerbangan murah ini.

Baru-baru ini saya naik muak melihat layanan mereka terhadap Sir Richard Branson, pengasas/pengerusi Virgin Group), yang terpaksa berpakaian paramugari perempuan, anjuran syarikat penerbangan tersebut. Paramugari Melayu dipaksa melayan beliau termasuk mencukur bulu kakinya. Tertanya tanya saya ke mana hala tuju anak-anak Melayu yang bekerja di sini. Apakah mereka akan menjadi Melayu atau apa..? Sebahagian paramugari Melayu disuruh berlakon seperti kartun mencalup rambut dengan warna putih dan berpakaian seksi semata-mata meraikan orang putih tersebut. Nasihat saya kepada Melayu celup ini, selamatkanlah Melayu-melayu di sini daripada hancur dan hilang identiti. Majlis tersebut diakhiri dengan mandi arak. Cuba lihat you tube mereka.

Saya menyeru agar orang PAS menonton sama, kerana dalam harakah online, saya terbaca PAS begitu memuji Melayu celup ini hanya kerana bermusuh dengan Utusan dan UMNO BN. Nasihat saya kepada PAS, berhati-hati, nanti makan diri. Sokong seseorang bukan kerana marah kepada UMNO. Sokongan hendaklah berasaskan kepada apa yang benar, apa yang salah. Itu baru nama perjuangan Islam. Jika tidak, PAS ini sama sahaja dengan yang lain.

Ingatlah! tatkala orang lain semakin kuat Cina (Indianya), adakah orang Melayu perlu menjadi semakin menjadi liberal atau cair bagi menunjukkan bahawa kita tidak rasis.  Jika ini berlaku, Melayu tidak berlaku adil kepada bangsanya sendiri. Melayu telah menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Jangan biarkan hati Melayu mati kerana terlalu meraikan orang lain.  

Prof Madya dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Program
Progra Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian Pengurusan dan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

No comments:

Post a Comment