Wednesday, 15 May 2013

BEKAS MB KEDAH..... SEPERTI YANG DICERITAKAN.......


Semua orang tahu mengenai keadaan kesihatan bekas MB Kedah....lihat di sini dan  di sini....
Mari kita ikuti catatan yang agak menyayat hati, sebelum beliau kehilangan kedua-dua belah kakinya... 

Aku menemani Ustaz Azizan di KMC setelah beberapa hari tak bertemu kerana urusan kempen pilihanraya. Beberapa kali dia berpesan kepada rakan-rakan untuk menghubungi aku yang agak sibuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengarah MTD DUN Jeneri (aku adalah Timbalan Pengarah 1 sebelumnya, terpaksa memangku pengarah yang dilantik sebagai wakil calon).

Kami hanya berhubung melalui telefon. Dia foward beberapa sms dan nombor telefon yang memaki hamunnya sebelum dan selepas calon-calon dimuktamadkan. Aku ber istighfar dan meminta dia terus bersabar. Dia sudah buat yang terbaik untuk negeri, rakyat Kedah dan parti. Tak ada apa perlu dikesalkan.
Beberapa kali dia merungut… “Depa tak mau dengar cakap kita dah. Susunan dan cadangan kita diredah tanpa merujuk kepada kita lagi. Semua orang boleh membuat keputusan untuk PAS Kedah. Kita di Perhubungan Negeri sudah tak ada kuasa apa- apa. Pesuruhjaya ada ramai di Kedah ni”. Saya hanya mendengar dan menyelami keresahannya. Seorang Pesuruhjaya tanpa kuasa di saat keputusan-keputusan besar perlu dilakukan.
Ramai orang lama PAS Kedah datang dengan rombongan mereka dari kawasan -kawasan untuk memohon dikekalkan atau diganti calon-calon tertentu dengan alasan yang tersendiri, Ustaz Azizan sudah letih melayani. Katanya” Hampa kata hampa, yang aku cadang pun depa buang, depa langgaq ikut suka depa, nak suruh aku pertahan hak hampa cadang lagu mana. Hampa pi lah ke pejabat agong, aku sudah tak buleh buat apa-apa.”
Setelah keputusan PRU diumumkan, barulah saya berkesempatan bertemu dengannya, itupun dia sudah di KMC, mengadu sakit kaki dan demam. Kali pertama mengunjunginya pada Isnin, dia sedang menjalani prosedur rawatan di ICU, saya pulang jam 6 petang, setelah menunggu 2 jam. Salur darah di kakinya tersumbat.
Esoknya, saya dimaklumkan oleh anaknya Mohamad Rafie, ayahnya mungkin dirujuk ke IJN dengan kondisi kesihatannya yang tidak didedahkan. Saya masuk menemui Azizan di ICU KMC jam 2 petang, dia mengalirkan air mata setelah saya mencium tangannya yang sedang terbaring. Saya tak mampu menahan lelehan airmata yang makin laju. “Sik macam mana dah? Aku tau hang pulun nak bagi menang jugak, tapi ni semua takdir Allah. Kita terlepas satu beban yang sangat besar. Hang bayangkan kalau kita menang, dan aku ada dalam wad, tentu kacau bilau lebih besaq daripada awal 2012 hari tu”. “Tak pa lah Ustaz, tok sah dok pikiaq pasai politik lagi, kita berubat bagi lega dulu”. Aku jawab perlahan memujuknya.
“Kaki aku kebas, tak rasa apa-apa. Hang angkat aku sat, aku nak pi bilik ayaq”. Sejak beberapa bulan terakhir, terutama ketika dia mengadu tentang calon-calon PAS Kedah, tekanan dalaman parti, sikap rakan-rakan parti, caci maki melalui SMS yang diterimanya, saya sering sebak dan buntu. Apa lagi yang tak kena, apa salah aku apa dosa kita… Dia merungut. Tak ada siapa mai habaq dosa apa yang aku buat, main hentam jauh- jauh saja. Mai lah cakap depan aku, apa salah aku. La ni semua pi panjat tangga Pejabat Agong, kita di negeri dah tak laku. Biaq depa jawablah.
Beberapa kali dia menyatakan pada waktu ini PAS memiliki terlalu ramai pencatur politik ( munawarah al-siasiyah) dan kita ketandusan Al-Murabituun dalam jemaah. Saya hanya mendengar dan membayangkan masa depan parti yang kian mencabar. “Hang talipon bagitau Cikgu Pa, tanya dia aku nak lepas jawatan Pesuruhjaya, minta pandangan dia, nak letak la ni ka atau lepas muktamar”?
MB Kedah yang baru, Dato’ Mukhriz sampai jam 3.00 petang. Saya melihat dan mendengar perbualan mereka, seperti seorang bapa bercakap dengan anaknya, tapi penuh hormat dan sopan. Ustaz Azizan meminta dua perkara untuk diberi perhatian atas kerja kerasnya selama 5 tahun, diteruskan. ” Saya nak minta tolong pada Dato’ dua perkara, pertama tentang KUIN dan kedua tolong teruskan pembinaan Ma’ahad Tahfiz Sains Pulau Tuba. Semua bajet untuk itu sudah diluluskan”. Dia masih sempat bergurau tentang beberapa perkara. Sewaktu melangkah keluar dari bilik, MB Kedah itu bersalam dengan aku dan berpesan. “Jaga Ustaz elok-elok”.
Saya mengiringi Azizan ke General Hospital Pulau Pinang jam 3.30 petang hari selasa 7 Mei 2013. Bersama saya anaknya Mohamad Rafie dan rakan lamanya Saudara Mazlan. Sampai sana jam 5 petang, terus ke unit kecemasan. Azizan masih sedar dan berbual. Dia berpesan beberapa kali supaya terus bekerja memajukan PAS. Dia masih bertanya beberapa orang calon yang menang dan yang tewas, termasuk Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin di Kepala Batas.
Dia haus dan dahaga. Saya meminta cawan dan straw, dia minum beberapa kali. Dia menjadi cemas dan memanggil saya apabila doktor memaklumkan kakinya tidak dapat diselamatkan lagi. Dia berpesan beberapa kali, “Hang jangan bagi depa potong kaki aku”. Saya berjanji akan mencari ikhtiar lain. “Jom kita balik, naik kereta pun tak pa lah”. Katanya beberapa kali.
Jam 7.30 malam, Ustaz Ali dari Alor Setar telah menunggu di Bukit Minyak, Bukit Mertajam. Ada seorang pakar yang merawat kesan diabetis yang lebih parah, tak perlu di potong. Saya bercadang membawanya ke sana. Ustaz Ali pernah dirawat di situ. Saya menghubungi ambulan daripada St John Ambulan, untuk membawa dia keluar, atas alasan nak pulang ke KMC, tetapi nak singgah di Bukit Minyak. Ambulan yang lengkap dengan alat bantuan pernafasan hanya boleh datang jam 8.30, saya menunggu tidak sabar lagi. Saya keluarkan wang di mesin RM3 ribu untuk kos ambulan dan rawatannya di Bukit Minyak.
Doktor tidak membenarkan saya mengambil risiko besar untuk membawanya keluar kerana takanan jantungnya tidak stabil. Beberapa kali saya berbincang dengan Tok Puan Faekah untuk mengambil risiko itu, tetapi kondisi terakhir Ustaz Azizan tidak membolehkan kami membawanya keluar. Kena tunggu jantungnya stabil baru kita bawa dia keluar. Saya dan Tok Puan Faekah (saya panggil Kak) akur.
Saya mengambil beberapa keping gambar bahagian kaki Ustaz Azizan dan memecut bersama Mazlan ke Bukit Minyak. Doktor Kumar memberi keyakinan bahawa keadaan seperti itu masih boleh dirawat tanpa pemotongan. Hanya bahagian hujung jari ibu kakinya perlu dibuang. “As long he still conciuos and you can bring him here, his leg can be safe, no need to cut it off”. Dia menunjukkan beberapa gambar dalam simpanannya yang lebih parah, kaki yang hitam, isi yang tumbuh kembali selepas rawatan di situ. Saya dan Mazlan lega dan gembira. Saya sudah temui penyelesaian alternaif, amanah Ustaz akan tertunai. Saya membuat temujanji untuk membawa Ustaz Azizan ke klinik itu seawal mungkin, sebaik sahaja dia membuka kliniknya jam 2.00 petang.
Saya kembali kepada Ustaz Azizan, memberi keyakinan kepadanya bahawa kakinya boleh diselamatkan. Dia tersenyum. “Jom kita pi la ni”. Dia cuba bangun. Saya dan Kak Faekah menerangkan nasihat doktor yang sedang menstabilkan jantungnya. “Kita pi esok jam 2.00 petang. Ustaz tidoq dulu bagi jantung stabil, jam 12.00 tengahari esok saya akan mai dan bawa Ustaz keluar. Ambulan saya sudah panggil, depa dah ready untuk esok.”
“Kalau macam tu, hang balik lah dulu, aku nak tidoq, kita jumpa esok”. Kata Ustaz Azizan. Saya menunggu hingga semua anak menantunya datang. Mereka masih berbual dengan Ustaz Azizan, dan dipesan macam-macam perkara sewaktu saya bergerak pulang untuk mengambil pakaian. Jam 3 pagi saya sampai di rumah.
Jam 5.30 pagi, Kak Faekah menelefon tiga kali memaklumkan Ustaz tenat dan koma. Saya bertanya beberapa kali, betulkah berita ni, sapa yang bagitau Kak? Ahmad (anak Ustaz Azizan yang menunggu di wad) yang telepon bagitau, Kak dok bersiap nak pi la ni. Jawab Kak Faekah. “Ahmad tau ka tenat ka nazak tu macam mana, dia reti ka Kak?” Doktor yang bagitau dia…. Mendengar itu saya bingkas mencapai seluar, bergegas ke Pulau Pinang dengan Mazlan dan Shahril Rizal, bekas pengiring Ustaz yang diarahkan kembali melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Dia tidak diperlukan lagi di Pejabat Menteri Besar kerana sudah ada yang bersiap menggantikannya. Katanya dari Bukit Aman.
Saya masih berdoa Ustaz akan sedar dan mampu dibawa keluar jam 12 tengahari nanti. Di wad CCU, ustaz sedang dibantu dengan alat bantuan pernafasan, lebam hitam di kaki kanannya sudah melarat ke sebelah kiri, melepasi lututnya, terlalu pantas dan luar biasa. Kakinya sejuk. Dia bernafas menerusi mulutnya saja. Saya terus berdoa, membaca Yaasin dan membisikkan talqin. Dia seperti mendengar dan mengajuk. Kelopak matanya berkedip-kedip.
Saya memaklumkan kepada pimpinan dan kawan-kawan dalam PAS Kedah kondisi semasa Ustaz Azizan. Jam 10.30 pagi panggilan mula masuk meminta pengesahan, benarkah Ustaz Azizan sudah tiada? Ada sebaran sms dan tulisan di blog ke seluruh negara bahawa ustaz sudah meninggal. Dari jam 10.30 hingga jam 1.00, telefon saya tidak berhenti berdering, saling bertindih panggilan yang masuk. Jawapan saya ringkas dan cepat. “Ustaz masih hidup, tetapi sedang koma, berita kematian itu palsu”.
Jam 2.00 saya ke surau, solat Zohor dalam fikiran yang bercelaru. Ustaz tak dapat di bawa ke Bukit Minyak, walaupun semua persiapan telah dibuat. Berita palsu ini pula sengaja dimainkan. Saya membayangkan perasaan anak-anak dan isteri-isterinya. Saya solat dengan En Zahari, Pegawai Daerah Yan. Dia mendahului saya saya satu rakaat. Saya masukkan handphone yang hampir habis bateri itu ke dalam beg sandang, sesudah berwuduk. Saya sandarkan beg itu di tiang di belakang saf saya, dan memulakan solat jamak dan qasar.
Saya berpaling ke belakang sesudah berdoa. Beg sudah tiada. Saya meraba poket, alhamdulillah, dompet yang tidak berduit masih ada, semua duit ada dalam beg, termasuk bekalan yang saya siapkan untuk ambulan dan rawatan di Bukit Minyak. Saya buntu dan mati kutu. Handphone saya ada dalam beg itu. Saya mengingati apa lagi yang ada. Aduhhh! iPad, pendrive, charger, parfume, pisau belati, buku cek, bil-bil, dan banyak lagi.
Saya memaklumkan kepada Ustaz Hafiz Nordin yang kebetulan ada di situ, dia cuba mendail nombor saya, tiada jawapan. Dia memanggil kawannya di syarikat telekomunikasi untuk menamatkan talian saya, semua urusan itu selesai di tanggnya.
Saya ke hulu ke hilir, mencari dalam tong sampah, belakang surau, dalam longkang dan tempat-tempat tersembunyi. Tiada!
Hingga malam itu, saya tidak dapat update keadaan semasa Astaz Azizan. Ada sedikit masa terluang, saya ke maxis, ambil simcard baru dan sain kontrak baru untuk dapatkan telefon yang lebih murah.
Saya update di facebook tentang kehilangan itu, ramai yang simpati dan berdoa. Sejak hilang pada hari Rabu, saya tak terfikirkan apa-apa tentang beg itu. Duit dan semua isi beg sudah ditakdirkan menjadi rezeki pencuri. Saya berdoa supaya dia memulangkan apa yang dia tidak perlukan. Saya halalkan apa yang sudah diambil dan dibelanjakan. Kalau dipulangkan handphone dan iPad saya itupun sudah satu rahmat besar buat saya.
Ketika membawa dua anak kecil ustaz ke Chowrasta membeli pakaian dan keperluan diri, saya menerima panggilan daripada seorang wanita. “Adakah encik kehilangan iPad?” Ya! Saya menjawab.” Saya terkedu, seperti tak percaya bila mendengar beg saya ada padanya. Saya menunggu di Balai Polis Lebuh Keramat, hingga dia datang bersama ibunya. ” Panjang ceritanya Encik, adakah encik mahu report polis kes ini?” Saya kata tak perlulah, asalkan saya dapat balik iPad saya.
Saya belanja mereka minum. Beg itu dicuri oleh seorang pemuda penagih dadah, seorang anak muda 27 tahun yang dipelihara oleh ibu tirinya. Ayahnya berkahwin dua, isteri pertama ayahnya memelihara dua anak angkat dengan penuh kasih sayang, tetapi menjadi penagih dadah. Ibu peliharaanya itu jatuh sakit dan tak mampu lagi mengawal anak belanya itu. Dia anak isteri kedua ayahnya, tetapi sesekali dikunjungi oleh ‘abangnya’ itu meminta wang atau menumpang tidur. Pada tengahari hari rabu, ‘abangnya’ datang meninggalkan sebuah beg berwarna coklat, katanya beg itu milik kawannya.
Dia kurang percaya dan mula memeriksa beg itu, dia menelefon saya dengan maklumat yang diperolehi dari iPad saya. Handphone dan wang tunai sudah lesap, tetapi saya tetap bersyukur. Saya menghubungi ibu pemuda itu yang sedang sakit, nombor telepon saya ambil dari anak tirinya. Saya memaklumkan hal anaknya mencuri beg dan saya sudah mendapatkannya semula. Saya ucapkan terima kasih dan memberi sedikit nasihat. Saya ingin bertemu Mohd Nasrul Bin Daud!
Saya pulang ke rumah selepas 5 hari di Penang. Anak saya demam dan isteri saya masih di klinik, sakit perut. Ustaz Azizan masih terlantar, anak-anaknya, isteri-isterinya saya sudah aturkan penempatan dan pergerakan mereka. Moga semuanya bersabar. Kita jumpa esok!
KISAH DI ATAS ADALAH TULISAN SETIAUSAHA POLITIKNYA, MUHAMMAD SANUSI MD. NOOR YANG JUGA KETUA PENERANGAN PAS KEDAH. BLOGNYA BOLEH DILAYARI DI http://sanusisetpol.blogspot.com/
KISAH SETERUSNYA DARI KISAH DI ATAS JUGA BOLEH ANDA BACA DI DALAM BLOG SEPERTI LINK YANG DIPAPARKAN....

No comments:

Post a Comment